Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
BENTONG, 05 MEI 2026 : “Alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Kerajaan Negeri Pahang adalah kerajaan yang terbaik setakat ini.”
Itu kongsi Encik Azmee Talib, 66, salah seorang penerima Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan.

Beliau yang juga pesara polis turut meluahkan rasa gembira dan syukur apabila menerima bantuan berterusan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Tentulah saya merasa gembira dan ini adalah bantuan yang kedua saya dapat. Untuk kali pertama saya dapat bantuan Haji pada tahun 2024 dan tahun ini saya dapat bantuan yang kedua saya terima,” katanya.
Sementara itu, Encik Raduan Sainan, seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menyifatkan penggunaan kad tersebut mampu memudahkannya mendapatkan rawatan kesihatan dengan lebih mudah dan teratur.

“Alhamdulillah, perasaan itu memang gembira. Macam kalau kita nak pergi ke hospital dan pada usia begini untuk menerima rawatan kadang-kadang lambat, tetapi dengan adanya kad ini, urusan untuk mendapatkan rawatan menjadi lebih mudah dan cepat.
“Sebagai rakyat Negeri Pahang, saya nak mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Tokwan (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) yang bersusah payah menyediakan kad kesihatan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Kamis Marsam, 76, seorang pesara ATM, menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam menjaga kebajikan golongan veteran yang pernah berkhidmat demi keamanan negeri.
“Kerajaan Negeri Pahang begitu mengambil berat terhadap kami veteran ATM dan PDRM yang telah bertugas serta menjaga keamanan Negeri Pahang. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

