Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 MEI 2026 : Kerja-kerja pembaikan tambahan akan dilaksanakan di Jambatan Tanjung Lumpur sebagai langkah susulan bagi memastikan keadaan jalan lebih selamat dan berkualiti kepada pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kasim berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang perlu memberi perhatian serius terhadap kualiti pelaksanaan projek berkenaan.
Menurutnya, kerja pembaikan yang sedang dijalankan ketika ini didapati kurang memuaskan dan perlu diperbaiki segera.
“Saya melihat sendiri kerja-kerja pembaikan ini sedang dalam proses, namun saya kurang berpuas hati kerana hasilnya tidak berkesan dan tidak sempurna,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke lokasi pembaikan jalan di Jambatan Tanjung Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan kerja tambahan itu penting sebagai langkah susulan bagi memastikan keadaan jalan benar-benar berada pada tahap selamat serta memenuhi piawaian ditetapkan.
Terdahulu, isu keadaan jalan di jambatan tersebut tular di media sosial apabila beberapa pengguna memuat naik hantaran di platform seperti Facebook dan TikTok, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kualiti pembaikan yang didakwa masih berbahaya kepada pengguna.
Keadaan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pemantauan akan dipertingkatkan bagi memastikan kerja pembaikan di jambatan berkenaan memenuhi piawaian keselamatan serta mengembalikan keyakinan pengguna. – PAHANGMEDIA

