Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 22 APRIL 2026 : Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ Pahang) bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menafikan sebarang kaitan dengan individu yang ditahan berhubung dakwaan penyelewengan dana zakat berjumlah RM230 juta yang tular baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PKZ Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi Haji Othman berkata, pihak yang terlibat dalam isu berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan, kerjasama atau pelantikan rasmi dengan PKZ Pahang mahupun MUIP.
“Mereka juga bukan ejen yang diiktiraf di bawah mana-mana skim kutipan zakat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, MUIP sentiasa memastikan pengurusan zakat termasuk melalui mekanisme wakalah dilaksanakan secara telus, berintegriti serta berakauntabiliti tinggi.
Katanya lagi, setiap kelulusan wakalah tertakluk kepada syarat yang ketat selain pemantauan rapi termasuk keperluan laporan agihan kepada golongan asnaf yang sah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai khususnya majikan dan pembayar zakat agar tidak berurusan dengan mana-mana individu atau organisasi yang tidak dilantik secara rasmi oleh PKZ Pahang atau MUIP bagi mengelakkan risiko penipuan serta penyalahgunaan dana.
“Sebarang aktiviti mengutip atau mengurus zakat tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 38 dan Seksyen 39 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pahang 2013, dan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, masyarakat turut dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi atau maklumat tidak sahih, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi PKZ Pahang bagi mendapatkan maklumat tepat dan dipercayai.
PKZ Pahang juga menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap dana zakat diuruskan dengan penuh amanah, telus dan berimpak demi kesejahteraan golongan asnaf serta pembangunan ummah.
Pada masa sama, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua pembayar zakat atas kepercayaan berterusan terhadap institusi tersebut. -PAHANGMEDIA

