Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 07 JUN2026 : Kebawah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah di Stadium Darul Makmur, di sini, semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Turut mengiringi ialah YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof.

Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan.
Lebih 30,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis yang turut menyaksikan perlawanan persahabatan antara Pasukan Pilihan Pahang dan Pasukan Pilihan Selangor.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana penuh meriah itu menyaksikan Pasukan Pilihan Pahang muncul pemenang selepas menewaskan Pasukan Pilihan Selangor dengan keputusan 2-1.

Sebelum majlis pelancaran dan perlawanan berlangsung, turut diadakan sesi Meet and Greet Perlawanan Persahabatan Pilihan Pahang menentang Pilihan Selangor sempena pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah.
Menerusi sesi tersebut, para pengunjung berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan pemain-pemain bola sepak legenda tanah air yang pernah mewarnai arena bola sepak negara.
Program yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu mendapat sambutan hangat apabila ratusan pengunjung daripada pelbagai lapisan umur hadir bagi mengabadikan kenangan bersama bekas pemain kegemaran mereka.
Pertemuan antara kedua-dua pasukan turut membuatkan peminat dunia bola sepak mengimbau kembali nostalgia kegemilangan bola sepak negara sekitar era 1990-an apabila Pahang dan Selangor dikenali sebagai antara musuh tradisi yang sentiasa mencuri perhatian peminat setiap kali bertemu di gelanggang.-PAHANGMEDIA

