Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 07 JUN 2026 : Projek menaik taraf kemudahan di Stadium Darul Makmur yang melibatkan peruntukan lebih RM7 juta kini berada dalam proses tender dan dijangka diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan yang telah diluluskan Kememterian Nelia dan Sukan (KBS) itu akan digunakan bagi menambah baik lampu limpah, sistem pendawaian elektrik serta tempat duduk di stadium berkenaan.
Katanya, pelaksanaan projek tersebut dijangka memberi suntikan baharu kepada pembangunan bola sepak negeri selain meningkatkan keselesaan pengguna Stadium Darul Makmur.
“Untuk makluman rakan-rakan media, kita baru sahaja memperolehi peruntukan lebih RM7 juta untuk menambah baik lampu limpah, pendawaian elektrik dan tempat duduk di Stadium Darul Makmur ini.
“Saya difahamkan peruntukannya sudah ada dan mesyuarat tendernya insyaAllah pasa bulan inj, akan diuruskan oleh pihak JKR itu sendiri.
“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada KBS, perjuangan saya lebih tiga tahun untuk tukar lampu limpah dan tempat duduk ini akhirnya tertunai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah di Stadium Darul Makmur di sini semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Tambahnya, penambahbaikan fasiliti tersebut akan melengkapkan kualiti padang Stadium Darul Makmur yang kini berada pada tahap membanggakan dan mendapat pengiktirafan dunia.
“Sekarang kita nak tambah baik dari segi fasiliti lain khususnya lampu limpah kita, temoat duduk kita dan ada beberapa perkara lagi,” ujarnya.
Katanha lagi, Kerajaan Negeri terus melaksanakan pelbagai usaha memperkasakan Stadium Darul Makmur termasuk mewujudkan pelbagai tarikan baharu.
“Dan saya rasa rakan-rakan media boleh nampak perubahan di Stadium Darul Makmur. Kita ada Coffee by The Field, kita ada Arena Makmur, pusat perniagaan yang dahulunya kanopi, sekarang beratap elok.
“Dan kita ke arah sebuah stadium yang mampu berdikari sendiri,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

