Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meminta agar kadar peratusan antara penumpang dan kargo bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka akan beroperasi pada awal tahun hadapan dikaji semula bagi memastikan manfaatnya lebih dirasai rakyat negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan awal pembahagian 70 peratus kargo dan 30 peratus penumpang dilihat kurang membantu dalam menangani isu kesesakan trafik, khususnya di Lebuhraya Karak.
Katanya, jangkaan kapasiti penumpang seramai kira-kira 400 orang bagi setiap perjalanan dari Pantai Timur ke Lembah Klang juga menimbulkan kebimbangan berhubung peluang rakyat Pahang mendapatkan tiket.
“Memandangkan ekspetasi rakyat Pahang khususnya sebab kita berdepan dengan masalah trafik di Lebuhraya Karak, kita menjangkakan bahawa dengan adanya kereta api laju ini akan dapat meminimakan masalah kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Karak.
“Tetapi apabila saya dimaklumkan penumpang 30 peratus, barangan kargo 70 peratus, saya nampak ini tidak banyak membantu. Kemudian, apabila saya tanya kereta api tersebut sekali jalan sampai ke Lembah Klang hanya boleh memuatkan 400 orang penumpang.
“400 ini bukan daripada Pahang (sahaja), ada daripada Kelantan, daripada Terengganu, daripada Pahang, dan yang membimbangkan saya dengan Kerajaan Negeri dan rakan-rakan semua dalam kepimpinan Kerajaan Negeri, ialah kita bimbang kita di Pahang ini tak dapat tiket itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Pahang International East Coast Entrepreneurial Summit (PIECES) 2026 bersempena program Malaysia East Coast Trade And Entrepreneur Expo 2026 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengurusan ECRL dalam masa terdekat bagi meneliti semula pembahagian kapasiti tersebut.
Tambahnya, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan termasuk imbangan lebih seimbang antara kargo dan penumpang seperti 50:50, tertakluk kepada keperluan semasa.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan pihak ECRL dalam masa terdekat supaya terutamanya apabila sampai musim perayaan, jualan tiket tidak dijual secara ‘bulk’.
“Maknanya hanya hanya ada kelompok tertentu yang dapat ataupun negeri lain sahaja dapat banyak, negeri kita tertinggal. Kalau boleh biarlah sama rata dan ini perlu diperhalusi pihak kerajaan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

