Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 18 APRIL 2026 : Program Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026 yang melabuhkan tirainya hari ini dilihat sebagai platform berkesan Kerajaan Negeri dalam usaha membantu memperkukuh serta memperkasa perniagaan usahawan di negeri ini.
Program anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu menghimpunkan sekitar 1,000 usahawan tempatan dalam pelbagai sektor bagi berkongsi ilmu, memperluas jaringan perniagaan serta membuka peluang pasaran baharu.
Pengusaha rempah ratus Puteri Ayu, Puan Norehan Mohd Nor, 60, berkata, penganjuran program seumpama itu memberi nilai tambah khususnya dari aspek penjenamaan produk.
“Saya mengusahakan perusahaan rempah ratus sudah masuk 41 tahun. Saya rasa sangat amat baik, satunya dari segi ‘branding’ lah ya. Kita mengenengahkan branding.

“Jadi saya rasa dengan program macam ni memberi semangat lagilah ya. Dan saya tengok banyak peluang-peluang yang kita dengar daripada forum untuk kemajuan perniagaan saya lagi,” katanya.
Tambahnya, sokongan berterusan kerajaan negeri turut membuka ruang lebih luas kepada usahawan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Sangat membantu sebab saya pun baru balik daripada Shanghai mengikut pada program Kerajaan Negeri juga. Walaupun saya membuat rempah kari, tapi market di sana itu saya rasa kena dengan kita punya produk lah.
“Kerajaan Negeri memberi peluang saya meluaskan pasaran. Bermaknanya kita buat promosi dekat sana dan kalau tak ada peluang macam ni saya pun mungkin tak lepas ke sanalah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha berterusan dalam membantu usahawan tempatan.
“Saya mengucapkan setinggi terima kasih pada Kerajaan Negeri kerana telah memberi peluang banyak kepada saya dan juga diharap masa-masa hadapan peluang-peluang seumpama ini dapat lagilah saya sertai,” katanya lagi.

Sementara itu, pengusaha spa, Puan Nuraizu Awang, 45, berkata, platform fizikal seperti ekspo berkenaan amat penting dalam membantu usahawan kecil memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka secara lebih meluas.
“Biasa kita dalam ‘online’ sahaja. Bila keadaan ‘offline’ macam ini, banyak usahawan-usahawan yang berjaya yang boleh bangkitkan kita punya semangat. Lebih lagi untuk kita nak lebarkan lagi kita punya perniagaan,” katanya.
Beliau yang mengusahakan spa sejak 2006 turut memperkenalkan produk baharu, Aura Perfume, selain menawarkan perkhidmatan spa pengantin dan pakej penjagaan selepas bersalin.
Menurutnya, bantuan dan bimbingan daripada agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan UMPSA banyak membantu usahawan kecil dari segi pembiayaan, latihan serta akses kepada geran.
“Kerajaan Negeri Pahang sangat membantu. Sebab dari kita tak tahu, dia banyak bagi bimbingan daripada Tekun, Mara, UMPSA banyak membantu usahawan-usahawan untuk mendapatkan pertolongan macam geran dan lain-lain,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

