Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 05 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong penganjuran program yang membentuk jati diri dan ketahanan golongan belia termasuk meneruskan program Mara Lasak Pahang 3.0, yag dijangka berlangsung di Ulu Tembeling, Jerantut tahun hadapan.
Tidak hanya itu, berikutan sambutan yag menggalakkan dengan 1,050 penyertaan dari 105 pasukan pada tahun ini, penganjuran tahun hadapan bakal menampilkan kategori baharu dengan melibatkan penyertaan luar dari negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, penambahan kategori baharu itu dibuat susulan terdapatnya permintaan daripada peserta luar Pahang yang berminat untuk menyertai cabaran berkenaan.

“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong penuh melalui Majlis Rekreasi Pahang (MRP) penganjuran program sebegini untuk bentuk ketahanan, jati diri dan sifat tahan lasak dalam kalangan anak-anak Pahang.
“Sekarang ini kita ada empat kategori. Nanti kita akan wujud satu lagi kategori luar ini. Namanya nanti saya akan tentukan dalam mesyuaratlah untuk kita buka penyertaan kepada orang luar,” katanya ketika ditemui selepas program Mara Lasak Pahang 2.0 Chini yang berlangsung di Felda Chini Timur 1, di sini hari ini.
Program tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan barisan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Tambahnya, keunikan Mara Lasak Pahang terletak pada konsep pertandingan secara berpasukan yang menuntut semua ahli menamatkan cabaran bersama.
Selain itu katanya, trek sejauh 15 kilometer yang merangkumi laluan berbukit, cerun curam serta kawasan berpaya menjadikan cabaran tersebut antara yang paling mencabar.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan penganjuran Mara Lasak pada kali ini menerima penyertaan ketua-ketua jabatan negeri ini di mana istimewanya pada kali ini, Ketua Hakim Syarie Pahang, YAA. Dato’ Haji Abdul Walid Haji Abu Hassan turut bertanding sebagai peserta paling senior dan berjaya menamatkan larian terbabit.
“Saya difahamkan Ketua Hakim Syarie Pahang peserta paling senior. Saya rasa tahun ini (usianya) 63 tahun. Tuanku sangat menghargai orang yang dengan jawatan setinggi itu boleh turun bersama dengan kita dalam usia sebegitu.
“Beliau habiskan larian tadi. Saya ingat dalam tiga jam beliau boleh habiskan larian. Maknanya, tak ada alasan kita orang muda ini. Itulah tadi, Tuanku pun kagum dengan keupayaan dan kesungguhan beliau,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

