Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 APRIL 2026 : “Memang semua tu datang dengan izin Allah dan rezeki tu datang dalam pelbagai bentuk,” kongsi jemaah muda bagi kumpulan haji tahun ini, Fatih Mohd Faizal.
Fatih, 18, turut melahirkan rasa gembira berganda apabila mendapat tawaran menunaikan haji serta keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Ada rasa macam susah nak percaya. Ada rasa macam sangat-sangat gembira sampai tahap macam layakkah saya dapat benda ni. Dan bila saya fikir balik, memang semua tu datang dengan izin Allah dan rezeki tu datang dalam pelbagai bentuk.
“Dan saya percaya apa yang saya dapat pada hari ni bukan sahaja untuk saya sendiri tapi merupakan satu amanah yang saya perlu share dengan orang lain juga pada masa akan datang.

“Alhamdulillah telah diberikan peluang dan rezeki untuk menjadi tetamu Allah pada tahun 2026 ni. InsyaAllah saya akan berangkat pada 28 April bersama dengan makcik saya, bertigalah dengan suami makcik saya,” katanya yang merupakan pelajar SM Islam Hidayah, Johor Bahru.
Anak sulung daripada daripada lima adik beradik ini turut melahirkan rasa syukur diatas usaha ibu bapanya yang mendaftarkan haji untuknya sejak dari lahir lagi.
“Dan saya sangat-sangat menghargai usaha mak ayah saya sebab saya dapat rezeki untuk pergi awalnya. Alhamdulillah. Pada asalnya, dapat tawaran tu waktu saya umur 17, waktu tahun lepas tapi disebabkan SPM tu, mak saya mohon untuk tangguh.
“Tapi bila mana dapat setahun untuk reset balik mindset tu rasa macam lama-lama makin berdebar. Sebab ini kali pertama dan pada umur yang sangat-sangat muda. Walaupun tak pernah pergi lagi, still rasa nak pergi banyak-banyak kali. Dari segi persediaan, saya memang banyak rujuk pada mak ayah saya tentang ilmu dan macam mana nak pastikan dapat haji yang mabrur sebab mak ayah dah pergi waktu 2024,” katanya.

Sementara itu, Nur Musfirah Mizana Jamalmizan, 18, turut melahirkan rasa teruja apabila mendapat panggilan untuk menunaikan ibadah haji bersama ibu bapa dan kakaknya.
“Saya rasa sangat teruja sebab baru umur 18 dah boleh pergi haji, saya bersyukur kepada Allah. Lepas tu baru-baru ni pula baru dapat result SPM yang bagi saya memuaskan, saya dapat 7A, 1B, memang saya bersyukur.
“Saya baru dapat tawaran waktu saya 16 tahun, waktu tu tengah SPM. Saya pergi dengan satu family, empat orang, mak ayah, kakak saya, dan saya.
“Persiapan setakat ni saya buat, mula-mula saya tambah lagi ilmu tentang cara nak pergi haji, lepas tu tahu rukun, tahu apa benda kena buat dekat sana, dan cari pakaian yang bagus menutup aurat. Lepas tu persiapan mental dengan fizikal supaya dekat sana tak ada menyusahkan orang,” katanya yang merupakan pelajar SMK Beserah.
Jemaah termuda yang direkodkan bakal menunaikan haji pada tahun ini adalah Nurain Azlin Nazly Abdullah, 16 dari Kuantan dan jemaah tertua adalah Zainah Dollah, 87, dari Temerloh.
Seramai 1,712 jemaah haji dari Negeri Pahang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini dengan penerbangan pertama adalah pada 19 April ini. -PAHANGMEDIA

