Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
PEKAN, 05 APRIL 2026 : Pasukan Unit Komunikasi Strategik (UKS) Negeri Pahang berjaya menamatkan cabaran Program Mara Lasak Pahang 2.0 Chini dengan catatan masa kira-kira dua jam 45 minit.
Ia sekali gus membuktikan semangat kerja berpasukan yang tinggi walaupun berdepan kekangan tugasan harian.
Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer berkata, pencapaian tersebut amat membanggakan memandangkan pasukan UKS memberi saingan sengit sehingga hampir meraih kedudukan lima terbaik.

Katanya, perbezaan masa yang sangat kecil dengan pasukan di tangga kelima menunjukkan potensi besar UKS sekiranya latihan dilakukan lebih awal dan tersusun.
“Ini satu pencapaian yang saya rasa cukup baik terutamanya untuk tim UKS ini sebab dalam kesibukan kerja, kita dapat habiskan.
“Dan bukan setakat habis tapi memberi saingan, pada saya, sebab kita dengan tim nombor lima… dia hadiah sampai nombor lima… tim kita dengan nombor lima itu sikit sangat beza (masa) dia.

“So (jadi) saya sangat bangga dengan tim saya dan ini menunjukkan kalau ada kerjasama pasukan, kita dapat melakukannya dengan baik.,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan UKS hanya sempat menjalani latihan kira-kira lima hari sebelum pertandingan berikutan komitmen kerja termasuk liputan program dan tugasan lapangan.
Sehubungan itu, beliau optimis pasukan tersebut mampu mencipta kejayaan lebih baik pada edisi akan datang sekiranya persiapan dibuat lebih awal.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar aktiviti riadah seperti mendaki, jungle trekking dan larian santai diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kecergasan fizikal warga UKS selain sebagai persediaan menghadapi Mara Lasak 3.0.
“Kalau tidak pun training (latihan) untuk Mara Lasak tapi saya rasa ini satu aktiviti yang di UKS kalau boleh kita akan teruskan. Kawan-kawan tadi pergi hiking, pergi ‘jungle trekking’, berlari santai. So saya ingat kita boleh teruskan itu.
“Sekaligus sebenarnya adalah merupakan juga training untuk Mara Lasak 3.0 dan saya yakin UKS akan lebih menggegar,” ujarnya.
Program Mara Lasak Pahang 2.0 Chini yang memasuki edisi kedua tahun ini mencatat penyertaan memberangsangkan seramai 1,050 peserta berbanding kira-kira 540 peserta pada tahun lalu. -PAHANGMEDIA

