Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 17 MAC 2026 : Program Jelajah Integriti Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Siri 1/2026 Daerah Kuantan dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh budaya integriti serta meningkatkan kesedaran berkaitan pencegahan rasuah dalam kalangan penjawat awam.
Menurut Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Encik Mohd Shukor Mahmud, tujuan program ini memfokuskan kepada pegawai yang berkhidmat dalam sektor perolehan dan penguatkuasaan berkenaan kesalahan jenayah rasuah.
“Tujuan program ini untuk memfokuskan kepada pegawai-pegawai yang berkhidmat dalam sektor perolehan dan penguatkuasaan untuk kita memantapkan kefahaman mereka berkenaan dengan kesalahan jenayah rasuah pada kalangan pegawai dan kaki tangan.
“Kemudiannya program ini untuk memberi mereka ilmu ataupun info berkaitan dengan integriti dalam tujuan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan hindari daripada jenayah rasuah.
“….dan mereka tetapkan untuk adakan sebanyak empat siri yang melibatkan Kuantan, Kuala Lipis, Rompin dan Temerloh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Integriti Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Siri 1/2026 Daerah Kuantan di Dewan Blok C, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, hari ini.
Tambahnya, pihak SPRM akan terus mempergiat usaha untuk mendekati penjawat awam dengan melalui pelbagai inisiatif berterusan.
“Kita kena sentiasa mendekatkan diri dengan kakitangan kerajaan untuk mohon mengadakan program dan ceramah berterusan, sama ada kita wawarkan kepada jabatan untuk memanggil kita memberi ceramah.
“Kita mempunyai data jabatan yang melakukan rasuah yang berstatus tinggi, jadi kita akan bagi cadangan untuk mereka anjurkan kursus ataupun program integriti sama ada ceramah, bengkel, team building. Kita serapkan nilai-nilai etika yang baik berkaitan dengan integriti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan usaha berterusan ini dapat mencapai sasaran sifar rasuah serta meningkatkan pemahaman mengenai rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam perkhidmatan awam.
“Harapan saya sudah pasti mahu melihat sifar rasuah dan sifar korupsi, di samping memastikan penjawat awam memahami bahawa rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan merupakan perbuatan yang tidak baik, bukan sahaja kepada diri sendiri malah turut menjejaskan jabatan,” katanya.

