Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 17 MAC 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar orang ramai mengambil kesempatan menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai medan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Paduka Baginda turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika melakukan perjalanan pada sambutan perayaan yang bakal tiba.
“Saya bersama Tengku Ampuan dan keluarga saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua yang berada di Pahang khususnya dan juga di Malaysia amnya.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan supaya kita semua dapat eratkan hubungan silaturahim antara keluarga kita, sahabat-sahabat kita dan juga semua kaum di mana sekali kita berada.
“Dan harap juga bila kita pulang ke kampung halaman supaya kita berhati-hati, memandu kereta dengan penuh cermat supaya kita dapat beraya di kampung bersama-sama keluarga yang tersayang. Sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin,” titah baginda.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian ketika berangkat berbuka puasa bersama keluarga dan rakyat jelata di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri YHM Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -PAHANGMEDIA

