Oleh: Norhafizan Zulkifli
TEMERLOH, 17 MAC 2026: Petugas agama seperti imam, bilal dan siak disaran memainkan peranan penting dalam memberikan kefahaman yang tepat kepada masyarakat sekali gus membantu Kerajaan Negeri memperkukuh syiar Islam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha itu penting bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh dengan dakwaan atau salah faham yang boleh menjejaskan kefahaman terhadap inisiatif memperkasa Islam yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Hanya dengan sedikit masalah yang kita keliru disebabkan adanya orang yang suka mengelirukan kita, menyalahfahamkan kita di dalam pentadbiran kita di Negeri Pahang. Sebenarnya mereka mengatakan negeri kita tidak Islamik.
“Saya sebagai EXCO agama dan tuan-tuan adalah sebagai rakan saya iaitu khatib-khatib, imam-imam, bilal-bilal, siak-siak… mestilah kita bertanggungjawab untuk memberikan fahaman yang betul kepada orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) Kluster Agama Daerah Temerloh bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Jenderak di Dewan Hubabah, Jalan Seding, Kampung Dato’ Shariff Ahmad, Kuala Krau, di sini semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Abdul Zaki bin Md Zain dan barisan ketua-ketua jabatan serta pimpinan setempat.

Pada majlis itu, seramai 227 petugas agama terdiri daripada imam, bilal, siak, guru takmir, badan khairat kematian dan wali hakim menerima bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM51,600.
Tambahnya, secara keseluruhan Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM1.2 juta BKA untuk diagihkan kepada petugas agama di seluruh negeri ini.
Bantuan tersebut katanya, dapat disalurkan kerana kedudukan kewangan negeri yang stabil hasil pengurusan pentadbiran yang baik di bawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Jadi kita bersyukur atas nikmat yang Allah SWT beri kepada kita, memilih seorang pemimpin yang mampu menguruskan kewangan dengan baik sehingga kita dapat nikmat ini dan rezeki ini bersama-sama.
“Jangan ingat kita seorang saja dapat. Semua serupa saja. Diagih sama rata oleh YAB Menteri Besar Pahang kepada rakyat di Negeri Pahang Darul Makmur ini supaya mereka dapat mengecapi sedikit seorang apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

