Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 17 MAC 2026 : Mesyuarat pengendalian Dewan Undangan Negeri Pahang (DUN) dilaksanakan bagi membincangkan perjalanan mesyuarat Sidang Dewan dan memberi maklum kepada wakil parti politik berkenaan aturcara yang akan dilaksanakan.
YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, wakil parti politik berkenaan akan dijemput menghadiri pra-persidangan bagi membincangkan perjalanan mesyuarat termasuk rang undang-undang serta usul yang bakal dibentangkan sepanjang sidang berlangsung.
“Saya akan menjemput wakil-wakil parti politik untuk kita membincangkan tentang perjalanan mesyuarat, rang undang-undang ataupun usul yang kita akan bentangkan supaya mereka yang mewakili parti politik masing masing mengetahui tentang aturan.

“Kita tidak mahu ada masalah apabila dalam Dewan mereka tidak mahu bercakap tapi bila diluar Dewan sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pengendalian mesyuarat Dewan akan dilaksanakan secara adil bagi memastikan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempunyai hak untuk mengemukakan pandangan.
“Kita akan melaksanakan seadil-adilnya dalam mengendalikan mesyuarat Dewan kita. Kita akan pastikan semua orang mempunyai hak masing-masing untuk bercakap dan memberikan pandangan.
“Kita ada peraturan, standing order , jadi semua kena ikut peraturan ataupun kita bagitahu peraturan Dewan tu dan semua kita akan ikut, satu pun kita tidak ada yang langgar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Ke-15 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) semalam. -PAHANGMEDIA

