Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 10 FEBRUARI 2026 : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan sebanyak RM183 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur serta kerja baik pulih di seluruh Negeri Pahang.
Menurut Menteri KPKT, YB. Tuan Nga Kor Ming peruntukan ini melibatkan 12 projek yang telah diluluskan bagi tahun 2026 serta juga tiga lagi projek tambahan yang akan dilaksanakan melalui kawal selia oleh 12 Bahagian, Jabatan dan Agensi di bawah KPKT.
“RM46.7 juta untuk pelaksanaan program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) di seluruh Negeri Pahang; RM37 juta untuk pelaksanaan projek pembangunan di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan melibatkan pembangunan di pihak berkuasa tempatan Pahang, dan pembinaan Terminal Bas Temerloh Sentral di Temerloh, dan pembangunan Pekan Sentral, Pekan, Pahang.
“Peruntukan sejumlah hampir RM32 juta kepada Bahagian Kemampanan Bandar untuk pelaksanaan program dan projek perumahan; peruntukan sebanyak RM21.1 juta tahun 2026 untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan JBPM meliputi daerah Kuantan, Bera, Lipis, Rompin, dan Bentong.

“RM19 juta telah diperuntukkan di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk kerja-kerja perolehan tanah, naik taraf tapak pelupusan sisa pepejal, pembinaan sel tambahan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari, WTE dan insinerator; sebanyak RM6.2 juta telah diperuntukkan di bawah seliaan Jabatan Kerajaan Tempatan bagi Inisiatif Belanjawan 2026 Negeri Pahang,” katanya.
Menurut beliau, tiga projek tambahan bernilai masing-masing RM1 juta setiap satu itu melibatkan pembinaan semula Medan Selera Cenderawasih, di Indera Mahkota, pembinaan Dewan Serbaguna Balok, di Beserah, dan kerja baik pulih rumah pangsa Alor Akar.
Beliau berkata demikian pada Lawatan Ke Rumah Pangsa Alor Akar, Taman Aman serta Simbolik Penyerahan Cek Cura Peruntukan Pembangunan Dan Perancangan Demi Kesejahteraan Rakyat Pahang di Rumah Pangsa Alor Akar.
Beliau berkata Program Sentuhan Kasih 4.0 yang telah masuk tahun keempat penganjurannya ini merupakan program turun padang KPKT bagi meninjau status kemajuan projek yang telah diluluskan untuk tahun 2026, di negeri ini. -PAHANGMEDIA

