Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUALA LUMPUR, 30 JANUARI 2026 : Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang disaran agar terus memainkan peranan membantu membentuk kestabilan politik dan pembangunan negeri meskipun bukan lagi menjadi wakil rakyat.
Saranan itu dizahirkan menerusi Program Ziarah Kasih Bekas Dewan Negeri Pahang yang diketuai YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, bersama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen di sekitar Kuala Lumpur, hari ini.
Antara yang disantuni ialah mantan ADUN Padang Tengku (1995–1999), YH Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah; mantan Ahli Parlimen Rompin (2015–2022), YH Dato’ Sri Haji Hassan Ariffin; serta mantan ADUN Benta (1995–1999), YH Dato’ Suhaimi Ibrahim.
YH. Datuk Seri Abdul Fattah berkata, bekas ADUN masih mampu menyumbang kepada Kerajaan Negeri melalui pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat memberi peranan kepada bekas-bekas wakil rakyat ini, sama ada dalam jawatankuasa atau anak-anak syarikat Kerajaan Negeri. Ramai antara mereka profesional, sihat dan berpengalaman. Kepakaran dan pengalaman ini wajar dimanfaatkan untuk membantu kerajaan,” katanya.
Beliau dalam pada itu menyifatkan kunjungan tersebut sebagai satu inisiatif yang amat bermakna kerana membuktikan bekas-bekas wakil rakyat tidak dilupakan walaupun sudah tidak lagi memegang jawatan.
“Saya merakamkan terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker yang mengadakan kunjungan hormat ini. Ia satu usaha yang baik dan memberi isyarat bahawa rakan-rakan yang masih berjawatan tidak melupakan kami yang telah bersara,” katanya.
Sementara itu, YH. Dato’ Sri Haji Hassan turut menegaskan peranan bekas ADUN penting dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
“Saya harap selepas ini bekas-bekas ADUN boleh memainkan peranan dalam usaha menstabilkan politik. Politik yang stabil adalah asas kepada pembangunan. Bila politik stabil, kerajaan kuat dan hasil negeri meningkat,” katanya.

Tambahnya, kejayaan Kerajaan Negeri Pahang mencatatkan hasil melebihi RM1 bilion untuk empat tahun berturut-turut membuktikan kestabilan politik memberi manfaat langsung kepada rakyat apabila hasil negeri dapat dipulangkan semula dalam bentuk pembangunan dan kebajikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap usaha YB. Speaker Dewan Negeri Pahang dan sumbangan yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang sebagai tanda ingatan kepada bekas ADUN.
Sementara itu YH. Dato’ Suhaimi pula berkata, meskipun tidak lagi berkhidmat sebagai wakil rakyat, namun Kerajaan Negeri Pahang dibawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang sentiasa dekat dihatinya.
“Walaupun saya tidak lagi menjadi ADUN, saya tetap terus memberi sumbangan dan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk memastikan negeri Pahang terus makmur, maju dan sejahtera.
“Kedudukan Pahang dalam landasan yang betul dan tepat mampu meletakkan Pahang menjadi sebuah negeri yang maju. InsyaAllah, saya tetap bersama dengan Kerajaan Negeri di bawah YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dan juga kepimpinannya,” ujarnya yang turut merakamkan penghargaan atas kunjungan dan sumbangan yang disampaikan melalui ziarah kasih berkenaan. -PAHANGMEDIA

