Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 28 JANUARI 2026 : Seramai 15 pelajar Pahang Skills yang mengikuti Program Assistant Pilot Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terpilih menerima tajaan pendidikan daripada RHB Islamic Bank Berhad.
Ia sekali gus menyokong usaha melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri strategik negara.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penajaan berjumlah RM265,500 itu disalurkan melalui penyerahan Cek Cura Penajaan Program Assistant Pilot ECRL daripada pihak RHB Islamic Bank kepada Pahang Skills.
Menurutnya, penajaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan sektor perbankan Islam dalam memperkasa pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang latihan kemahiran berimpak tinggi.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan sektor perbankan Islam dan institusi latihan kemahiran dalam memperkasa pembangunan modal insan negeri Pahang, selari dengan agenda pembangunan ekonomi dan kebolehpasaran graduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, YH Dato’ Adissadikin Ali, bersama pegawai bank tersebut serta Pengerusi Majlis Pengurusan Pahang Skills, YH Dato’ Mas’ut Awang Samah, di Pejabat Menteri Besar di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS, di sini hari ini.
Tambahnya, kerjasama antara institusi kewangan dan pusat latihan kemahiran seperti Pahang Skills amat penting dalam memastikan kebolehpasaran graduan selari dengan keperluan industri semasa.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sokongan serta sinergi strategik seperti ini, dan berharap ia dapat diteruskan demi manfaat rakyat serta kemajuan negeri secara menyeluruh,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

