Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah menaikkan kadar insentif kemenangan atlet Pahang di Sukan SEA bagi pemenang pingat emas kepada RM8,000 berbanding RM5,000 sebelum ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, peningkatan kadar insentif ini menunjukkan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap usaha, pengorbanan, dan kejayaan para atlet.
“Dengan sukacitanya saya memaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang telah bersetuju menaikkan kadar insentif kemenangan atlet Pahang di Sukan SEA dengan kadar lama bagi pingat emas individu RM5,000 kepada RM8,000 dan bagi berpasukan dinaikkan kepada RM4,000.

Bagi pingat perak individu akan menerima RM4,000 berbanding RM3,000 sebelum ini dan bagi berpasukan akan menerima RM2,000. Manakala pingat gangsa individu akan menerima RM2,500 dan berpasukan menerima RM1,500.
“Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri Pahang turut menyediakan insentif khas bagi atlet yang memecahkan rekod kejohanan Sukan SEA iaitu sebanyak RM2,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Pahang di Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13, yang berlangsung di Thailand di Hotel Grand DarulMakmur.

Turut hadir, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata pencapaian para atlet negeri ini juga menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dan membanggakan melalui tujuh pingat emas.
“Atlet Pahang telah berjaya menyumbang tujuh pingat emas, lapan pingat perak, dan lapan pingat gangsa dalam Sukan SEA melalui pelbagai acara termasuk Ekuestrian (Polo dan Lompat Berhalangan), Olahraga, Silat, Hoki (5 Sebelah, Dewan dan Padang), Bola Jaring, E-sukan, Pelayaran, Kriket, Taekwando, Angkat Berat, Woodball, Memanah, dan Futsal.
“Selain itu, atlet Pahang turut meraih 1 pingat emas, 2 pingat perak, dan 4 pingat gangsa dalam Sukan Para ASEAN Thailand baru-baru ini, melalui sukan Tenis Kerusi Roda (Individu & Berpasukan), Blind Football, Tenpin Bowling Kerusi Roda (Perseorangan Wanita), Olahraga, dan Para Lawan Pedang (Mix Team Foil & Sabre),” katanya. -PAHANGMEDIA

