Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 27 JANUARI 2026 : Sokongan berterusan Kerajaan Negeri Pahang terhadap pendidikan agama terbukti menjadi pemangkin utama kejayaan pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), sekali gus melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Seorang penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan SMAN Pahang, Muhammad Danish Aiman bin Romali, 18, berkata bantuan dan perhatian Kerajaan Negeri membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran sehingga memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) pada tahun 2024.
“Saya sangat berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang kerana sentiasa menjadi tulang belakang dan menyokong kami.

“Saya sebagai pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang dan saya sendiri merupakan penerima biasiswa Kerajaan Negeri Pahang, saya tidak merasa terbeban sebagai anak Pahang kerana saya sentiasa disokong oleh kerajaan Negeri Pahang yang sangat hebat ini,” katanya.
Berkongsi tip kejayaannya, anak kepada seorang petani dan suri rumah dari Raub itu, berkata keberkatan ibu bapa dan guru menjadi asas kejayaannya, selain disokong oleh persekitaran pembelajaran yang kondusif hasil bantuan Kerajaan Negeri.
Sementara itu,seorang lagi penerima anugerah, Anis Nazira Khairul Nizam, 19, yang memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata bantuan kewangan Kerajaan Negeri bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah memberi ketenangan dari segi mental dan emosi.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah membantu kami daripada segi kewangan dan kewangan ini juga bantu kami dari segi mental dan fizikal juga,” katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam aliran perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gambang.

Anis Nazira yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik berkata, kejayaan akademik perlu diseimbangkan dengan usaha, keberkatan ibu bapa dan guru serta tawakal kepada Allah.
“Mula-mula kita kena cari keberkatanlah. Keberkatan kepada Allah ini dengan kita jaga solat. Kemudian yang kedua pula keberkatan ibu bapa dan guru. Kalau guru hormatlah. Kalau ibu bapa kalau dia suruh basuh pinggan, basuhlah.
“Kemudian yang ketiga ialah usaha kita. Bila usaha kita ni janganlah kita malas,” katanya sambil mengakui menghadapi cabaran untuk menyeimbangkan subjek akademik dan agama ketika mengikuti Pra-STAM.
Dalam pada itu, seorang lagi penerima anugerah, Balqis Bashirah Saiful Faizan, 20, yang mencatat keputusan 10A STAM 2024, berkata kejayaan tidak datang secara kebetulan sebaliknya menuntut disiplin tinggi dan persediaan awal.

“Untuk subjek yang melibatkan hafazan, kita kena mula dari awal. Kalau tangguh, memang susah. Bantuan kerajaan negeri membolehkan pelajar lebih fokus dan tidak terbeban dengan hal lain,” katanya.
Balqis yang kini menyambung pengajian di Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan turut menyifatkan sokongan Kerajaan Negeri sebagai pelaburan penting dalam melahirkan pelajar cemerlang pendidikan agama.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana dengan bantuan yang diberikan dapat membantu pelajar sekolah untuk lebih fokus dalam pelajaran,” katanya.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan SMAN Pahang Kali Ke-24 Tahun 2026 sebelum ini meraikan 586 pelajar, 53 guru dan 18 buah SMAN, sekali gus mencerminkan hasil komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa pendidikan agama di negeri ini. -PAHANGMEDIA

