Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
GENTING HIGHLANDS, 25 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang berhasrat mengembalikan Felda kepada sahsiah asas melalui pelbagai program memperkasakan masyarakat Felda.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkasakan ilmu bagi memastikan pendapat masyarakat selari dengan tahap ekonomi.
“Kita bukan sahaja nak memperkasakan, tapi kita nak beri sahsiah asas, kita nak beri asas kembali kepada Felda. Felda ini ada jihad dia sendiri iaitu kita nak memperkasakan ilmu bersama dengan pendapatan.

“Jadi ekonomi dengan masa akan datang kita nak selari. Sahsiah diri, peneroka, dan juga kerajaan dengan Felda tidak boleh berpisah. Tiga tungku tu, so kalau dapur tu kena ada tiga tungku tu, tiga-tiga tu kena bertindak dengan selari sebab itu kita nak dapatkan kebersamaan antara ketiga-tiga ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Strategik Sekretariat Muafakat Felda Pahang 2026 di Scapes Hotel.
Menurut beliau, Felda di negeri ini juga akan mengembalikan fungsi pegawai agama yang pernah wujud di dalam Felda sebelum ini bagi memastikan masyarakat Felda diterapkan dengan ilmu agama.

“Hasil dapatan pada kali ini kita melihat Felda ini dulu ada contohnya di Felda dia ada satu SDA agama ini, satu pegawai yang menjaga hal agama tapi sejak beberapa tahun yang lalu SDA telah pun ditarik semula.
“Dan itu pentingnya kita Kerajaan Negeri nak menerapkan semula supaya majlis agama ini kita tak boleh tinggalkan dalam Felda. Felda dengan agama Islam tidak boleh dipisah.
“Yang itu kita akan bawa ke peringkat federal, namun sebelum perkara itu berlaku, kita sendiri Kerajaan Negeri dah gerakkan majlis takdim ini. Kiranya Pahang dulu bawa, selari dengan slogan kita Pahang 1st,” katanya. -PAHANGMEDIA

