KUANTAN, 19 JANUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Rejimen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jugra, Selangor, hari ini.
Turut berangkat mengiring, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bersama-sama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku selaku Kolonel Yang Dipertua Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disambut Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Sejurus tiba, Paduka Baginda berkenan berangkat ke Padang Kawad Pangkalan Udara Jugra bagi memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) sebelum berangkat bersama KDPM Tengku Mahkota Pahang ke bangunan Markas Rejimen PU Jugra bagi menerima persembahan taklimat organisasi dan pengoperasian Markas MAREJ Rejimen TUDM oleh Panglima Rejimen TUDM.

Paduka Baginda kemudiannya turut berkenan berangkat ke Wisma Perwira PU Jugra bagi menandatangani buku lawatan serta menghadiri Jamuan Diraja yang diadakan sempena keberangkatan Paduka Baginda ke pangkalan tersebut.

Rejimen TUDM Jugra merupakan markas dan unit darat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Pangkalan Udara Jugra, Banting, Selangor. Ia juga menempatkan Pasukan Khas Udara TUDM (PASKAU) iaitu unit elit yang dilatih untuk operasi khas termasuk kawalan sasaran bernilai tinggi, pencarian dan penyelamatan serta taktik anti-pengganas.
Selain berfungsi sebagai pusat latihan dan operasi Rejimen TUDM, Pangkalan Udara Jugra sering menjadi lokasi bagi acara rasmi dan lawatan pegawai kanan TUDM, mencerminkan peranan pentingnya dalam struktur pertahanan udara negara. -PAHANGMEDIA
Kredit : Kesultanan Pahang

