Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 20 JANUARI 2026 : Kerajaan Pahang serius dalam usaha menangani masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands menerusi pelaksanaan projek menaik taraf dan pembinaan jalan utama secara berfasa dan menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, pembinaan Jalan Pintasan Tanah Rata serta menaik taraf Jalan Persekutuan FT59 dari Tanah Rata ke Kea Farm dan Jalan Persekutuan FT434 (Jalan Griddle) merupakan langkah strategik bagi menangani kesesakan trafik yang semakin kritikal, terutama pada musim cuti umum.
Katanya, Kerajaan Negeri dalam masa sama juga akan berusaha untuk meminimakan permasalahan yang timbul berkaitan pembinaan laluan terbabit.
“Pentingnya kita tahu Cameron Highlands ini, berlaku kesesakan yang boleh dikatakan teruk terutama sekali waktu cuti umum.

“Sebab itu antara langkah bagaimana nak menyelesaikan masalah kesesakan adalah dengan menaik taraf jalan dan membuat jalan pintasan selari dengan kajian yang telah dibuat oleh UMPSA (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah),” katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus Cadangan Pembinaan Jalan Pintasan Tanah Rata serta Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT59 dan FT434 di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, di sini hari ini.
Sesi berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Tuan Ho Chi Yang; Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin; ketua dan wakil jabatan berkaitan serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.
Tambahnya, projek menaiktaraf berkenaan itu akan dilaksanakan secara menggunakan kaedah reka dan bina (design and build), dan selepas kontraktor dilantik, tempoh setahun diperuntukkan bagi menjalankan kajian terperinci termasuk Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA).
Katanya lagi, kajian berkenaan akan menentukan jajaran sebenar pembinaan, kawasan pembebasan tanah serta bentuk mitigasi yang perlu dilaksanakan bagi memastikan projek berjalan lancar justeru berharap penduduk terlibat memberikan kerjasama yang baik dalam pelaksanaan projek berkenaan.
“Sebab akhirnya nanti bila projek ini siap, yang untungnya ialah penduduk setempat. Bila jalan dah cantik, kurang ‘jam’, pengunjung semakin ramai dan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai sokongan Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan besar bagi projek berkenaan dan berharap sokongan ini dapat diteruskan dalam pembangunan infrastruktur jalan lain di Cameron Highlands.
Beliau turut memaklumkan, projek yang dianggarkan bernilai hampir RM480 juta dan memakan masa 42 bulan itu kelak dijangka dapat meningkatkan tahap perkhidmatan (Level of Service, LOS) trafik daripada tahap LOS F (paling sesak) pada masa kini kepada tahap sekurang-kurangnya LOS C, dalam tempoh 20 tahun selepas penyiapan projek. -PAHANGMEDIA

