Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SUNGAI PETANI, 19 JANUARI 2026 : Sesi Dialog Bersama Usahawan Bumiputera akan diadakan di semua zon di negara ini bertujuan mendengar sendiri suara usahawan mikro, kecil, dan sederhana di negara ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sei Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK), ia juga bagi melihat sendiri realiti di lapangan, dan memahami cabaran sebenar yang sedang dihadapi usahawan terlibat.
“Yang pentingnya kita akan turun semualah, termasuk di zon tengah dan juga di zon timur dan sebagainya. Tujuan kita turun ni bukan macam saya nak bagi kuliah, tidak. Kita lebih nak mendengar apa yang mereka bangkit dan mana yang boleh kita bagi penjelasan, kita akan bagi penjelasan.

“Di mana yang boleh kita bantu, kita bantu. Contohnya seperti tadi ada yang bangkitkan masalah birokrasi sedikit sebanyak memang melambatkan proses.
“Selepas itu kita mendengar rungutan ataupun pandangan daripada peringkat-peringkat usahawan ini. Mana yang boleh kita ambil tindakan segera, kita ambil. Mana yang kita rasa perlu bawa kepada peringkat atasan pun kita bawa ke peringkat atasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Turun Padang Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK) dan Dialog Bersama Usahawan Bumiputera Zon Utara di Park Avenue Hotel, Sungai Petani.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan RM54.9 bilion untuk pemerkasaan PMKS dalam Belanjawan 2026.
“Dan kita juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memperuntukkan lebih kurang RM54.9 bilion kepada PMKS bagi tujuan pembiayaan, geran, automasi, pendigitalan, dan juga latihan. Ini satu nilai yang cukup banyak dan saya pasti ini akan sedikit sebanyak dapat membantu usahawan-usahawan kecil kita,” katanya.

Beliau berkata Kedah dipilih menjadi lokasi pertama program turun padang ini memandangkan kira-kira 70 peratus usahawan di negeri ini merupakan usahawan di peringkat mikro.
“Dan kita tahu di Zon Utara ini ada 222,000 orang usawan di peringkat mikro, kecil, sederhana. Dan dalam ucapan saya tadi, saya menyentuh supaya kita ini kena ada peningkatan, ada perubahan sebab 70 peratus daripada usahawan yang ada di Zon Utara ini adalah di peringkat mikro.
“Jadi kita tidak mahu mereka selama-lamanya di peringkat mikro. Dan dalam masa yang sama, kita faham bahawa mereka ini menghadapi banyak cabaran. Banyak dugaan dengan harga barang yang naik dan keadaan pasaran yang sukar ditembusi dan sebagainya. Kerajaan akan bantu SME Corp,” katanya. -PAHANGMEDIA

