Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 24 DISEMBER 2025 : Bermula dengan mencuba subjek Sains Komputer sebagai subjek tambahan di sekolah, Muhammad Zafran Ng Affendi tidak menyangka bergelar johan pertandingan Young Coders World Cup (YCWC) 2025 peringkat antarabangsa.
Menurut Muhammad Zafran Ng, 16, yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), pendedahan dalam bidang pengekodan semasa tingkatan 3 membenihkan minatnya terhadap bidang ini.
“Di sekolah kami bermula dari tingkatan 3 terdapat juga subjek tambahan iaitu muzik, taranum, seni dan programming. Programming tu seperti subjek tambahan yang orang kata saja-saja.
“Sebab di antara tiga (subjek) boleh kata subjek tambahan yang kukuh tapi terdapat subjek programming kerana terdapat pensyarah daripada UCYP yang mengajar kami subjek programming dan dari situ sebenarnya terdetik didedahkan dengan dunia coding ini,” katanya.

Muhammad Zafran Ng mendedahkan dia tidak meletakkan harapan yang tinggi ketika memasuki pertandingan ini memandangkan dia sedang menduduki peperiksaan akhir tahun ketika itu dan mengambil masa kira-kira tiga minggu sahaja untuk membangunkan laman web bagi pertandingan tersebut.
“Semasa saya menghasilkan laman web ini, sebenarnya ia adalah dalam tempoh periksaan akhir tahun. Jadi, itu sebenarnya mengapa hanya menghantar seorang sahaja tapi sebenarnya semua orang sudah dipromosikan oleh guru kami, namun dalam kalangan kami, kami masih terfikir-fikir sama ada nak sertai atau tidak.
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk sertai pertandingan ini kerana idea ini bukanlah idea yang baru sebenarnya. Dalam tahun lepas, saya ada sertai pertandingan inovasi yang mengisahkan tentang pengurusan laptop, namun, ia melibatkan kosnya sangat tinggi.
“Jadi, idea penambahan terbaru yang saya buat ini adalah untuk menjimatkan kos dan penambahbaikan yang besar untuk idea yang sebelum ini,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi jurutera perisian atau penganalisis data.
Pelajar yang berasal dari Mentakab ini berkata kandungan AI yang dibangunkan ini merupakan sistem untuk mengesan penggunaan komputer riba oleh pelajar MTNP yang dapat menjimatkan masa dan mengurangkan masa semakan.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Dato’ Mohd Lafzul Muda, kejayaan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pahang dalam melahirkan penghafal Al-Quran yang juga pelopor kepada bidang teknologi masa depan.
“Sebelum ini kita belum pernah mewujudkan aliran sains tulen dan juga aliran sains perakaunan dan juga sains fizikal. Tetapi kita melihat keperluan masa depan bahawa dunia teknologi ni bergerak begitu pantas sekali. Jadi hasrat Kerajaan Negeri, YAB. Menteri Besar sendiri melalui Yayasan Pahang ingin melahirkan hufaz yang juga akan menjadi pelopor kepada bidang teknologi masa depan.
“Jadi itu di antara background mula diwujudkan bidang sains komputer di maahad ini dan kita melihat alhamdulillah dengan kejayaan Zafran ini akan membuka mata banyak pihak bahawa yang pertama penghafaz Al-Quran ini memang mereka ini luar biasa lah.
“Maksudnya ibarat kita kata dia kita letaklah ke belah kiri ke, letaklah ke belah kanan ke, letaklah dalam bidang apa pun insyaAllah mereka akan boleh menjadi seseorang yang berjaya,” katanya.
Young Coders World Cup (YCWC) 2025 merupakan pertandingan Pengaturcaraan dan Kecerdasan Buatan (AI) peringkat antarabangsa dengan lebih dari 1,200 penyertaan dari sepuluh buah negara dengan hanya satu projek yang layak dipilih mewakili negara bagi setiap kategori.
Penyertaan ini memerlukan pelajar untuk menghantar projek pembangunan laman web berintegrasikan Kecerdasan Buatan (AI) yang dinilai oleh sepuluh panel hakim antarabangsa dari pelbagai negara melibatkan bidang akademik dan industri termasuklah jurutera perisian Mercedes Benz. -PAHANGMEDIA

