Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 22 DISEMBER 2025 : UMNO Pahang mengecam keras tindakan Ahli Parlimen Puchong, YB. Yeo Bee Yin, yang secara terbuka mengeluarkan kenyataan biadab meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tersebut yang bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan keangkuhan politik serta ketandusan adab.
Katanya, kenyataan berunsur ejekan dan sindiran itu turut menyentuh perasaan banyak pihak, khususnya ahli keluarga Dato’ Sri Najib serta ahli-ahli UMNO.
“Keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan pentas sorakan politik murahan. Meraikan keputusan tersebut dengan ejekan dan sindiran merupakan satu perbuatan yang hanya menampakkan ketidakmatangan dan kekeringan nilai seorang wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, dalam berpolitik, adab dan keikhlasan perlu dijadikan asas, bukannya memperlekeh atau mempermainkan isu yang melibatkan proses perundangan dan perasaan pihak lain.
“Jika mahu berkawan, berkawanlah dengan adab dan keikhlasan, bukan dengan ejekan kosong yang akhirnya menyebabkan diri yang begitu angkuh tenggelam dalam kesombongannya sendiri,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu menegaskan UMNO Pahang kekal konsisten dan tidak akan goyah dalam memperjuangkan keadilan berhubung isu ini.
“UMNO Pahang akan terus berdiri teguh, tidak goyah dan tidak sesekali berundur dalam memberikan sokongan serta meneruskan usaha mencari keadilan buat Dato’ Sri Najib Razak,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

