Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka membawa lima hingga tujuh gelombang hujan lebat berterusan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai persiapan awal telah dilaksanakan termasuk mengadakan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan Jawatankuasa Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Dan saya semalam pun, pukul 10.00 malam lebih saya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana di peringkat negeri untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap agensi, jabatan dan alhamdulillah semuanya dalam keadaan siap siaga ya.
“Kita buat persediaan yang terbaik. Lagipun menghadapi MTL ini bukan satu perkara baru bagi Pahang kerana ia boleh dikatakan setiap tahun, sama ada besar atau kecil saja. Jadi kita bersiap siaga,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, di sini hari ini.
Lawatan berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Ekonomi, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, ketua-ketua jabatan dan barisan pimpinan setempat.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy menyeru orang ramai khususnya mangsa banjir supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan semua pihak.
Mengulas perkembangan semasa, beliau memaklumkan keadaan cuaca pada petang ini adalah baik dan paras air di beberapa kawasan telah mula menurun, sekali gus menyaksikan beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup, walaupun terdapat PPS baharu dibuka di kawasan lain.
“Alhamdulillah cuaca pada petang ini panas dan saya dimaklumkan keadaan air telah mula menurun dan telah pun ada PPS yang telah mula ditutup.

“Tetapi ada juga PPS yang baru dibuka. Ada yang keluar, ada yang masuk tetapi secara total bilangan mangsa semakin berkurangan.
“Dan kita harap dan terus berdoa supaya trend ini akan berterusan kembali kepada normal dan semua masa banjir akan dapat balik ke rumah masing-masing,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas serta agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pengurusan bencana banjir di negeri ini.
“Saya juga bersyukur kerana sehingga hari ini tidak ada kemalangan jiwa walaupun masa banjir mencecah hampir 15,000 orang.
“Kita semua harap berdoa supaya ianya keadaan ini dapat dikekalkan dan dapat kembali kepada keadaan yang asal,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

