Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 19 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif ke arah menjadikan negeri ini sebagai sebuah bandar pintar pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, banyak inisiatif yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi kemudahan dan kesejahteraan kepada rakyat dalam penggunaan teknologi.
“Banyak yang ingin kita laksanakan bagi memastikan kita dapat memberikan kemudahan dan kesejahteraan kepada rakyat pada masa kini. Sebagai contoh, kita ingin mewujudkan satu waste to energy plant untuk memastikan kesejahteraan dari segi persekitaran Negeri Pahang ini.
“Selain itu, dari segi contoh kegunaan kenderaan elektrik (EV) dan Stesen Pengecasan (Charging Station) yang kita laksanakan. Itu pun adalah satu elemen-elemen yang berkaitan bandar pintar.

“Dan hari ini juga wujud berbagai aplikasi contohnya aplikasi PahangGo pada masa akan datang dan elemen-elemen yang gunakan e-wallet, dalam peringkat perancangan dan mungkin dah siap PahangGo juga akan laksanakan e-wallet untuk Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sempena Persidangan Smart Technology Towards Smart City Sempena TRex 2025 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang turut berhasrat agar pihak Bahagian Kerajaan Tempatan dan Pelan Malaysia dapat bersama-sama untuk merealisasikan pengguna awal.
“Kita juga berhasrat agar Bahagian Kerajaan Tempatan dapat bersama Pelan Malaysia kalau boleh dapatkan pengguna awal sebagai kita punya rancangan masa depan. Bila satu Pahang dapat pengguna awal bolehlah kita iktirafkan satu negeri ke arah bandar pintar.
“Kita ada 83 elemen bandar pintar yang perlu kita penuhi tetapi kita akan cuba buat satu persatu,” katanya. -PAHANGMEDIA

