Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 18 DISEMBER 2025 : Orang ramai dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga pada musim banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, mangsa banjir juga diminta mendengar arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Kita doakan supaya hujan berhenti, air cepat surut dan saya menyeru kepada pihak yang terlibat supaya mereka jangan pulang ke rumah masing-masing. Sebab kita tidak tahu arus air macam mana, melainkan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Dan yang lebih penting mendengar arahan pihak berkuasa. Kalau pihak berkuasa kata pindah dengan segera, pindah dengan segera. Kalau jangan balik, maknanya jangan balik. Sebab yang penting kepada kita dalam keadaan musim bah ini adalah nyawa adalah menjadi keutamaan kita,” katanya.
Beliau berkata penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai juga diminta untuk lebih berhati-hati dengan kehadiran haiwan liar dan buaya.
“Saya ingin menasihati penduduk supaya menjaga keselamatan terutama mereka yang duduk berhampiran dengan sungai. Kerana kita tahu ada binatang-binatang yang mungkin bila banjir ini mereka akan mendarat ataupun keluar daripada sungai.

“Jadi kena sentiasa berhati-hati selalu. Dan kalau boleh duduk di PPS lah. Jangan biarkan anak-anak berkeliaran ataupun pergi ke mana-mana,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat ini.
“Kita dapati hampir lebih kurang 9,000 orang mangsa banjir yang melibatkan 3,000 lebih keluarga. Dan trend sekarang saya dapati menaik tetapi dengan kadar yang agak perlahan. Alhamdulillah saya nampak semuanya terkawal.
“Dan saya sempat jumpa dengan mangsa-mangsa banjir. Mereka semua mendengar arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa. Makanan, minuman boleh dikatakan teratur dan saya ucapkan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan kepada mangsa banjir, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan laksanakan seperti mana sebelum ini.
“Bantuan kepada mangsa kita akan carry on bantuan seperti biasa. Itu kita punya SOP,” katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Jaya Gading di sini hari ini. -PAHANGMEDIA

