Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 18 DISEMBER 2025 : Orang ramai dinasihatkan jangan menularkan berita yang tidak sahih berkaitan situasi banjir di negeri ini bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara tersebut hanya akan menimbulkan keadaan yang tidak harmoni di antara mangsa terjejas dengan ahli keluarga yang tinggal di luar kawasan terlibat banjir.

“Dalam keadaan macam ini sepatutnya memberi sokongan, kerjasama, galakan, dan beri sokongan moral. Mengeluarkan kata-kata semangat, bukan menularkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah.
“Mungkin mewujudkan keadaan yang tidak harmoni. Tidak harmoni ini maksud saya mungkin keluarga yang duduk di luar mereka merasakan seolah-olah mungkin betul tapi sebenarnya tidak betul. Tidak seperti mana yang digambarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Jaya Gading di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Pahang telah melakukan persediaan awal melalui Jawatankuasa Pengurusan Operasi Bencana Negeri Pahang (PKOB) namun terdapat sedikit kelewatan disebabkan situasi yang tidak dapat dielakkan.
“Tetapi saya sebenarnya tidak menafikan ada sedikit kelewatan. Tapi itu biasalah dalam keadaan yang hujan, kelam kabut, pemindahan. Tetapi yang pastinya makanan itu ada, sampai.
“Saya tidaklah dengar cerita yang sampai dari tengah hari, pukul 7 malam baru dapat makanan. Tak ada. Kalau ada berlaku kelewatan pun mungkin satu jam, satu jam setengah. Itu adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Saya sangat memahami sebab kita dah buat persediaan awal, semua agensi telah buat persediaan awal. YB Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengadakan mesyuarat beberapa kali selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Operasi Bencana Negeri untuk mengatur kesiap siagaan kita dan itu mungkin pada peringkat awal,” katanya.

Mengulas mengenai berita tular berkenaan kelewatan makanan sampai ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), beliau berkata penduduk yang ditemui di PPS yang dilawati faham mereka berada di PPS dan bukannya kediaman sendiri.
“Itu satu benda yang sangat subjektif lah. Dia makan lambat, kadang-kadang pukul satu setengah dia dah kata lambat dah. Tadi rata-rata yang saya temui, mereka saya dah tanya, dah makan? Tak ada yang kata tak makan dan sebagainya. Tak ada.
“Saya beritahu secara bersemuka kalau ada permasalahan sila beritahu kepada saya. Tak ada. Semua kata alhamdulillah, mereka menerima seadanya dan mereka faham bahawa ini adalah pusat pemindahan sementara bukan seperti mana di rumah. Jadi mereka faham. Dan kita pun buat yang terbaik.
“Hari ini saya melihat sendiri dengan mata kepala saya sendiri walaupun saya tidak sempat untuk ke semua PPS tetapi saya melihat keadaannya yang teratur dan saya juga mendapat maklumat daripada semasa ke semasa daripada PKOB dan juga daripada agensi-agensi kerajaan lain,” katanya. -PAHANGMEDIA

