Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
JERANTUT, 16 DISEMBER 2025 : Penantian lebih 40 tahun seorang wanita warga emas untuk memiliki suratan hak milik tanah sendiri di Felda Lepar Utara 1 di sini berakhir apabila menerima geran fizikal hari ini.
Puan Leha Othman, 73, antara 800 peneroka yang menerima suratan hak milik daripada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Peneroka Felda Lepar Utara 1, 2, dan 4 dan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu Lepar Utara 3 Daerah Kuantan dan Jerantut di SMK Lepar Utara di sini hari ini.
Ketika ditemui Puan Leha, 73, yang mengalami masalah pergerakan dari pinggang ke bawah sebak apabila menerima suratan hak milik setelah 40 tahun menunggu.

“40 tahun (tunggu nak dapat suratan hak milik) rasa seronok juga tapi tak seronok manalah, sorang-sorang (terima) tak ada Pak Ngah (suami). Lepas 11 tahun, dia meninggal 11 tahun baru dapat. Suami ada sebutlah, bila kita ni nak dapat geran.
“Alhamdulillah, terima kasih. Sedih juga pasal sakit ni dari pinggang sampai ke bawah, kena lumpuh. Orang tolong pimpin (kalau nak bergerak). Lepas sakit semua baru dapat (suratan hak milik),” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu menurut Puan Rosjoraini Mohd Bukhari, 58, dari Felda Lepar Utara 1 turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Felda dalam merealisasikan impian untuk memiliki suratan hak milik.

“Kita tunggu dah lama jadi kita rasa bersyukur Felda bagi kita kesempatan tinggal di sini dan sekarang kita dapat terima hak milik kita sendiri selama kita duduk sini 36 tahun ini. Terima kasih Felda dan Kerajaan Negeri Pahang dan Dato’ Sri Menteri Besar,” katanya.
Manakala suaminya Encik Mohd Nazri Mat Yasin, 61, turut melahirkan rasa teruja apabila mendapat suratan hak milik yang ditunggu sejak 36 tahun lepas.
“Tak tahu nak cakap, teruja sangat. Alhamdulillah terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Besar,” katanya.

Encik Zahari Mat Isa, 69, dari Felda Lepar Utara 2, turut melahirkan rasa lega setelah penantian selama 40 tahun kini menjadi miliknya.
“Bersyukur, sebab banyak cabaran macam-macam (sebelum ini). Terima kasih kepada Tok Wan sudi datang ke Lepar dalam keadaan hujan macam ni, terima kasih banyak-banyak,” katanya. -PAHANGMEDIA

