Oleh : Ain Nadhirah Basha
JERANTUT, 16 DISEMBER 2025 : Seramai 42,194 orang atau 98 peratus daripada 43,126 peneroka di seluruh Pahang telah terima hak milik, setakat ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, baki dua peratus lagi akan diselesaikan secara berperingkat berikutan melibatkan masalah teknikal.
“Dengan pemberian suratan hak milik pada hari ini bermakna kita telah mencapai 98 peratus peneroka-peneroka di Pahang yang ada seramai lebih kurang 43,000 maknanya 98 peratus telah kita bagikan suratan hak milik.
“Baki 2 peratus kita akan cuba selesaikan cara peringkat-peringkat. Itu semua sebenarnya masalah perwarisan, teknikal. Ini teknikal, saya tak berani nak bagi jaminan sebab berkait dengan waris.

“Maknanya peraturan-peraturan tertentu, contohnya kalau tanah tersebut ada 10 orang perwaris, harus menemui 10 orang itu. Kalau ada dapat jumpa 8 orang sahaja, dua tak jumpa, tak boleh nak proses. Itu penting. Kalau boleh dapat semua, waris.
“Katalah tanah itu, peneroka itu mati, meninggal kedua ibu bapa, dia ada anak 10 orang untuk menyelesaikan itu, kena jumpa 10 orang anak itu. Selagi tak jumpa, tak boleh nak proses. Itulah kelewatan berlaku di situ,” katanya.
Mengulas mengenai cara pengurusan pemberian hak milik kepada peneroka di negeri ini, beliau berkata ia perlu dilakukan mengikut tatakelola yang ditetapkan dan tidak terburu-buru.
“Proses-proses tatakelola berlalu harus dipatuhi. Maknanya kita tidak buat gopoh-gapah, kita mendapatkan maklumat, proses-proses daripada Felda kepada Pejabat Tanah, Pejabat Tanah kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dan akhirnya di bawa kepada peringkat pengurusan dan exco untuk kita putuskan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peneroka Felda yang menerima suratan hak milik mereka supaya menjaga tanah tersebut sebaik mungkin dan tidak berniat untuk menjualnya.
“Saya ucapkan syabas tahniah kepada mereka setelah penantian selama 42 tahun. Jadi dan kepada mereka yang mendapat suratan hakmilik ini saya harap mereka dapat menjaga tanah tersebut dengan baik.
“Teruskan usaha-usaha untuk mengekalkan ataupun meningkatkan lagi hasil yang sedia ada dan yang pentingnya jangan sesekali berniat atau cuba untuk menggadaikan ataupun menjual kepada orang lain kerana untuk mendapat tanah ini bukan satu perkara yang mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Peneroka Felda Lepar Utara 1, 2, dan 4 dan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu Lepar Utara 3 Daerah Kuantan dan Jerantut di SMK Lepar Utara, hari ini. -PAHANGMEDIA

