Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 DISEMBER 2025 : Jumlah mangsa banjir di daerah ini terus meningkat daripada 223 mangsa pada jam 1 petang tadi kepada 920 mangsa setakat jam 8 malam tadi.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga meningkat dengan penambahan satu lagi PPS berbanding enam PPS sebelum ini menjadikan keseluruhan tujuh PPS dibuka di daerah ini setakat ini.
Tujuh PPS berkenaan ialah Dewan Serbaguna Kampung Jaya Gading (96), Dewan Orang Ramai Kampung Seri Mahkota (164), Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai (105), Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad (237), Sekolah Kebangsaan Wira (75) dan Sekolah Kebangsaan Mat Kilau (48) dan PPS yang baru dibuka iaitu Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail yang menempatkan seramai 92 mangsa dari 34 keluarga.
Selain itu, sebuah PPS turut dibuka di daerah Maran iaitu Pusat Pemindahan Tetap Kamoung Luit yang menempatkan 18 keluarga terdiri dari 69 mangsa menjadikan keseluruhan jumlah mangsa banjir yang terjejas di negeri ini kepada 989 orang setakat ini.
Selain itu turut dimaklumkan keadaan Sungai Belat di Sri Damai, di sini masih berada pada paras bahaya manakala empat lagi sungai iaitu Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut, Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut, Sungai Kuantan di Bukit Kenau, di sini, dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini, Pekan kini berada pada paras amaran.
Sementara itu, sembilan sungai berada di paras waspada dengan emoat sungai di daerah ini dan masing-masing satu di Bera, Maran, Temerloh, Bentong dan Lipis. -PAHANGMEDIA

