Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Skuad MAYA diperkasakan di kawasan Felda di negeri ini dalam menangani masalah penagihan dadah di kawasan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, inisiatif ini menunjukkan sokongan kuat komuniti Felda terhadap hasrat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dalam menjadikan negeri ini bebas daripada ancaman dadah.
“Ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan Negeri mengambil pendekatan berperingkat dalam menangani masalah penagihan dadah di kawasan FELDA yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.
“Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama rapat bersama AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan), FELDA Negeri Pahang dan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil lebih tepat dan berkesan.
“Di peringkat negeri, Kerajaan Negeri bersama Sekretariat Muafakat FELDA dan FELDA Negeri Pahang sedang memperkasakan SKUAD MAYA (Masih Ada Yang Sayang) dengan slogan FELDA Benci Dadah,” katanya.
Beliau berkata tindakan Skuad MAYA disusun mengikut tiga aspek utama bagi memastikan usaha ini lebih teratur dan menyeluruh selain menjalankan pemantauan secara berterusan.
“Aspek Pencegahan dengan memberi tumpuan kepada kesedaran masyarakat, pendidikan awal dan aktiviti alternatif yang dapat menjauhkan belia daripada pengaruh dadah; Aspek Kawalan iaitu memastikan pemantauan dilakukan secara berterusan, maklumat dikumpul dengan teratur dan aduan komuniti disalurkan dengan cepat untuk membolehkan tindakan segera diambil.
“Aspek Keselamatan iaitu meningkatkan tahap keselamatan kawasan melalui rondaan, pemasangan kamera pemantauan dan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan.
“Selain itu, FELDA turut menjalankan pemantauan berterusan melalui Laporan Bulanan Komuniti (LBK) bagi mengenal pasti kawasan yang berisiko dan menilai sejauh mana keberkesanan program yang telah dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada pihak AADK di atas pelaksanaan Pelan Komunikasi Antidadah yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 10 September lepas.
“Pelan ini menggunakan kaedah komunikasi yang lebih moden dan berasaskan bukti, termasuk penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), untuk meningkatkan keberkesanan pencegahan, rawatan dan pemulihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

