Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang merancang untuk membuat bayaran balik pinjaman dalam jumlah lebih besar dan lebih awal daripada jadual asal, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman Kerajaan Persekutuan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah proaktif itu akan mula dilaksanakan seawal tahun 2027, tiga tahun lebih awal daripada jadual sebenar.
“Bermula tahun 2027, Kerajaan Negeri merancang untuk mula membayar pinjaman yang sepatutnya dibayar pada tahun 2030, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman Kerajaan Persekutuan secara signifikan.
“Bayaran ‘advance’ ini adalah langkah proaktif membuktikan bahawa bajet negeri adalah mampan dan dirangka dengan visi jauh ke hadapan,” katanya ketika ucapan penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Katanya, usaha meningkatkan bayaran pinjaman ini selari dengan prestasi kewangan negeri yang baik, termasuk rekod pembayaran balik yang semakin meningkat.
“Untuk makluman, pada tahun 2024, Kerajaan Negeri telah membuat bayaran balik pinjaman sebanyak RM39.4 juta, manakala tahun 2025 sebanyak RM61.2 juta iaitu peningkatan sebanyak 55 peratus yang menunjukkan kedudukan kewangan negeri semakin kukuh,” katanya.
Tambahnya, ia sekali gus menolak dakwaan bahawa Belanjawan Negeri Pahang berada dalam keadaan defisit.
“Fakta kewangan yang sah, laporan audit, kedudukan tunai yang stabil serta kemampuan negeri mencatat lebihan operasi, jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pahang menguruskan kewangan rakyat dengan penuh integriti dan profesional. Malah kita telah mendapat Sijil Audit Bersih selama dua tahun berturut-turut,” katanya lagi.
Mengulas tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, YB Tuan Shahril Azman Abd Halim mengenai jabatan negeri berbelanja melebihi peruntukan, beliau menegaskan perkara itu tidak benar berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 3/2025, muka surat 53, Jadual 32, yang menunjukkan semua jabatan negeri berbelanja mengikut peruntukan.
Beliau turut menegaskan bahawa Penyata Kewangan 2024 yang menerima Pendapat Tanpa Teguran mengukuhkan lagi keyakinan terhadap ketelusan pentadbiran negeri.
“Dalam menilai angka, laporan kewangan serta disiplin fiskal, ada perkara yang wajar kita insafi bersama. Bidang kewangan kerajaan ini bukan tempat untuk teka-teki atau andaian. Ia memerlukan ilmu, kefahaman dan kewibawaan profesional.
“Sebab itu, jika kita bukan akauntan, bukan juruaudit dan bukan pula Ketua Audit Negara, eloklah kita tidak mendahului atau “mengajar” mereka dalam perkara yang menjadi bidang kepakaran mereka.
“Tidak elok untuk kita melebihi mereka yang diberi amanah dan kelayakan untuk menilai, kerana dalam dunia kewangan dan tatakelola ini, kebenaran tidak lahir daripada suara yang paling kuat, tetapi daripada fakta yang paling tepat,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

