Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Sebanyak 60 buah bas akan digunakan Bas.My sebagai pengganti perkhidmatan Rapid Kuantan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, pertambahan jumlah bas ini membolehkan kapasiti perkhidmatan dapat ditingkatkan bagi memenuhi keperluan harian pengguna.
“Pelaksanaan perkhidmatan Bas.My di Kuantan sebagai pengganti perkhidmatan Rapid Kuantan telah membawa beberapa penambahbaikan ketara demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap, moden dan inklusif.
“Antara kelebihan utama yang telah diperkenalkan adalah jumlah bas yang lebih banyak. Program Bas.My menyediakan sebanyak 60 buah bas, iaitu peningkatan yang signifikan berbanding penyediaan terdahulu.
“Bas.My kini beroperasi dengan 16 laluan, iaitu rangkaian yang lebih luas berbanding sebelum ini bagi memastikan lebih ramai penduduk Kuantan mendapat akses kepada liputan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh,” katanya
Tambah beliau, perkhidmatan bas baharu yang menggunakan bas baharu ini juga lebih kerap waktu perjalanan selain dilengkapi ciri mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
“Dengan jumlah bas yang lebih besar, kekerapan perjalanan dapat dipendekkan kepada antara 30 hingga 60 minit, sekali gus mengurangkan waktu menunggu dan meningkatkan tahap kebolehpercayaan perkhidmatan.
“Semua bas yang digunakan di bawah Bas.My adalah unit baharu, dilengkapi ciri mesra OKU, termasuk ruang kerusi roda dan fasiliti akses mudah. Selain itu, kesemua bas menggunakan enjin Euro 5 yang lebih bersih dan mesra alam.
“Setiap bas dipantau melalui sistem GPS bagi memastikan pematuhan jadual perjalanan, ketetapan masa serta pemantauan operasi yang lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata perkhidmatan baharu ini turut menyediakan kad konsesi percuma kepada golongan tertentu serta kad perjalanan tanpa had bagi warganegara.
“Program ini turut menyediakan kad konsesi kepada golongan OKU, warga emas, pelajar sekolah dan pelajar IPT, yang membolehkan mereka menikmati tambang percuma untuk perjalanan harian.
“Bagi pengguna umum, disediakan Kad My30, yang menawarkan perjalanan tanpa had, unlimited, dengan bayaran hanya RM30 sebulan.
“Melalui inisiatif ini juga, terdapat perkhidmatan Van Medic yang boleh ditempah khas untuk mengambil penumpang terus dari rumah, khususnya mereka yang kurang upaya dan menggunakan kerusi roda,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan Bas.My telah meningkatkan kecekapan, aksesibiliti, dan keterangkuman perkhidmatan pengangkutan awam, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan mobiliti yang lebih baik kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

