Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited memperkasakan budaya kesukarelawanan dalam kalangan belia di negeri ini melalui program yang dijalankan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ini kerana ia merupakan wadah penting untuk membentuk jati diri, ketahanan, dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.
“Bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai aktiviti-aktiviti sukarela ini, Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Belia dan Sukan Negeri Pahang dan juga Majlis Sukan Pahang melaksanakan pelbagai program di peringkat akar umbi daerah dan juga negeri. Antara program tersebut adalah Kursus Asas Sukarelawan Anak Muda Pahang yang memberi fokus perkara asas dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawanan. Manakala bagi Kursus Asas Sukarelawan Anak Muda Pahang Action (SACTION) lebih terperinci dan melibatkan modul lebih mendalam.
“Kedua adalah Program Mobilisasi Sosial dan Pasca Bencana. Program ini melibatkan sukarelawan terlatih serta tidak terlatih mengikut bidang kemahiran masing-masing dalam sesuatu aktiviti atau misi sukarelawan; ketiga, Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) yang merupakan antara platform berkesan dalam menyemai budaya sukarelawan secara sistematik dalam kalangan belia melibatkan empat komponen utama iaitu khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan juga penjelajahan lasak.
“Yang keempat adalah program pemerkasaan Persatuan Belia Pahang atau lebih dikenali sebagai Youth Empowerment Society atau YES Pahang. Melalui program ini penyertaan seramai 33 pemimpin muda baru dari seluruh Negeri Pahang dan modul program ini dirangka dengan begitu teliti dan rapi mencakupi kemahiran kepimpinan dan komunikasi pembentukan daya saing dan ketahanan diri kecekapan pengurusan pertubuhan belia serta pendedahan tentang cabaran belia masa kini,” katanya.
Tambah beliau, Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) juga merupakan salah satu program sukarelawan di bawah inisiatif Kerajaan Negeri Pahang untuk melaksanakan program sukarela dan membantu masyarakat ketika bencana.
Beliau berkata melalui penglibatan golongan belia dalam program keusahawanan ini dapat memberi pelbagai manfaat melibatkan kewangan serta material selain anugerah daripada Kerajaan Negeri dan peluang kerjaya selain memantapkan kemahiran diri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, YB. Haji Zuridan Mohd Daud pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

