Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Karnival Aspirasi Pahang 1st merupakan medan melatih para usahawan muda di negeri ini dengan kerjasama bersama pempengaruh.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, ia bagi mendedahkan usahawan dengan formula berniaga menggunakan media sosial.
“Kita lihat di dalam Karnival Aspirasi Pahang 1st setiap daerah yang kita telah jelajah kita bawa influencer untuk melatih usahawan tersebut. Dan ini kita terbuka kepada seluruh rakyat di luar sana.
“Di setiap daerah kita nak melatih para usahawan belia, kita bawa influencer bukan sahaja dalam Negeri Pahang malah kita bawa juga yang popular di luar sana untuk kita beritahu bagaimana formula yang boleh mendekati pelanggan.
“Kita bawa mereka untuk pembangunan ataupun bagaimana nak melaksanakan TikTok dan influencers akan membantu usahawan-usahawan Negeri Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memperkasa program keusahawanan belia di Negeri Pahang bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing, berpengetahuan serta berpendapatan tinggi.
Tambah beliau, pelbagai langkah strategik telah dan sedang dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Negeri dan agensi di bawah Kerajaan Negeri serta Persekutuan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), SME Corp Malaysia, SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia), MARA (Majlis Amanah Rakyat), dan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) merangkumi pembangunan kapasiti, akses kepada pasaran serta sokongan pembiayaan bagi pengukuhan ekosistem keusahawanan belia.
“Antara inisiatif utama yang dilaksanakan adalah seperti pemerkasaan kemahiran dan pembangunan kapasiti, pemerkasaan pemasaran dan akses pasaran digital, serta penyediaan geran dan sokongan pembiayaan.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkasa golongan belia dalam sektor keusahawanan pertanian bagi melahirkan usahawan muda yang lebih berdaya saing dan berpendapatan tinggi melalui Program Pembangunan Agropreneur Muda Pahang, penyediaan bantuan input dan teknologi moden, pewujudan skim galakan baharu, dan Kerjasama strategik bersama agensi Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tamabahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

