Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Dianggarkan terdapat sekitar 1.4 juta tan rizab Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri ini dengan nilai RM37.363 bilion.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, ia berdasarkan laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Pahang pada kajian yang dijalankan dibawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dari tahun 2016 hingga 2020.
“Daripada jumlah tersebut, dianggarkan sebanyak 70 peratus kawasan berpotensi mengandungi REE berada di dalam Hutan Simpan, manakala baki 30 peratus berada di kawasan berstatus tanah milik dan tanah kerajaan.
“Hasil semakan pada 28 November 2025, harga semasa bagi RE karbonat adalah USD6,456.47 per tan metrik dan berdasarkan kadar tukaran USD 1 bersamaan RM4.1325, nilai tersebut dianggarkan berjumlah kira-kira RM37,363,200,000 ,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang terbuka dan bersedia untuk mempertimbangkan cadangan menubuhkan Hub Pemprosesan Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri ini.
“Kerajaan Negeri juga terbuka dan bersedia mempertimbangkan cadangan penubuhan Hub Pemprosesan REE di Negeri Pahang sama ada daripada syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri atau syarikat luar.
“Setakat ini, Jawatankuasa Pelaburan Negeri telah mendengar beberapa pembentangan cadangan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa, dan perkara tersebut masih dalam proses penilaian serta pertimbangan wajar oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pengoperasian perlombongan peringkat huluan (upstream) bagi memastikan aktiviti pelombongan dijalankan secara mampan dan patuh garis panduan ditetapkan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedang menfokuskan kepada aspek memulakan pengoperasian perlombongan peringkat huluan (upstream) bagi memastikan pelaksanaan perlombongan, terutama melibatkan REE dapat dijalankan secara mampan dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Justeru itu, pengoperasian perlombongan peringkat huluan (upstream) adalah penting bagi meyakinkan pelabur untuk melabur dalam pembangunan Hub Pemprosesan REE bagi peringkat pertengahan (midstream) atau hiliran (downstream),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

