Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 DISEMBER 2025 : Sebanyak 14 projek tebatan banjir di negeri ini diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, terdapat satu projek tambahan telah dibincangkan bagi dilaksanakan di daerah Lipis menjadikan keseluruhan kelulusan di Pahang sebanyak 15 projek.
“14 projek telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Negeri Pahang melalui Kerajaan Negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
“Dan terkini tambahan satu lagi projek yang dapat semasa saya bermesyuarat dengan TPM (Timbalan Perdana Menteri). Saya bangkit lagi satu keperluan iaitu di daerah Lipis, menjadikan kesemua sekali 15 projek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Mohd Johari Hussain berkenaan kelulusan bajet Kerajaan Persekutuan melibatkan tebatan banjir di negeri ini.
Beliau turut memaklumkan kemajuan pembinaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau di Sungai Lembing mencapai 16.84 peratus iaitu awal empat hari daripada sasaran kemajuan projek.
“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau di Sungai Lembing, Kuantan telah bermula pada 28 November 2023 dan dijangka siap pada 27 November 2026. Projek ini dilaksanakan secara kontrak reka dan bina.
“Kajian reka bentuk dan kerja yang berkaitan bermula pada 28 November 2023 dan siap pada 4 Julai 2025. Seterusnya, pembinaan projek dimulakan pada 5 Julai 2025 dan status kemajuan terkini projek adalah 16.84 peratus berbanding jadual 16.33 peratus, awal empat hari,” katanya.
Beliau turut meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan terlibat untuk sentiasa melakukan pemantauan supaya pihak pemaju melakukan kerja mengikut jadual ditetapkan.
“Saya berharap supaya kontraktor dapat menyiapkan kerja-kerja tersebut mengikut jadual sebab banyak kerja di Pahang terbengkalai adalah disebabkan oleh kontraktor.
“Yang ini Yang Berhormat kena pantau betul-betul, kena buat engagement dengan kontraktor supaya (kerja) mengikut jadual dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sungai Lembing, YB. Tuan Ayub Mat Ashri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

