Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri sedang merancang beberapa sokongan tambahan dalam mempertingkatkan lagi keupayaan dari segi teknologi sebagai usaha melonjak produktiviti, daya saing mengurangkan kos operasi petani negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, antara usaha tersebut adalah dengan memperluaskan penggunaan teknologi Internet Benda (IoT) dan dron dalam sektor pertanian.
“Iaitu Kursus IoT dalam Pertanian anjuran Jabatan Pertanian Negeri Pahang yang mana dilaksanakan kepada tiga peringkat Zon Pahang yang menyasarkan seramai 65 orang petani dengan peruntukan sebanyak RM250,000.
“Meningkatkan peruntukan teknologi moden di bawah Rancangan Malaysia ke 13 (RMK-13), melalui cadangan inisiatif baru dipanggil Geran Skim Permodenan Pertanian yang mana merangkumi skop geran padanan dan pemasangan system IoT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Selain itu, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi berkata Kerajaan Negeri komited dalam menggalakkan penglibatan belia dalam sektor pertanian moden termasuk IoT dan mekanisasi.
“Kerajaan turut memperluaskan penggunaan sensor tanaman, sistem fertigasi automatik, dron semburan baja dan racun, rumah hijau pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kerja.
“Antara perkara yang boleh dilihat atas kejayaan pengusaha belia petani ialah di Paya Pesagi di Maran yang diusahakan oleh usahawan muda petani bernama Nur Syasya Ismail, berusia 26 tahun menguasahakan paya terbiar bermula 2021 dan berjaya mencapai hasil enam metrik tan perhektar. Ini satu kejayaan yang baik,” ujarnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menggalakkan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi antaranya UCYP, Pahang Skill Development Centre (PSDC) dan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) bagi memastikan inovasi IoT dan mekanisasi pertanian dapat diperkenalkan secara berterusan.
Beliau menegaskan, impak penggunaan dron dan IoT telah terbukti melalui pengeluaran padi di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin yang mencatat 11,071 metrik tan bagi musim 2024 dan 2025, iaitu peningkatan 40 peratus berbanding musim sebelumnya.
“Ia juga dapat menjimatkan kos operasi mekanisasi dalam kerja-kerja penyediaan tanah, misalnya penanaman dan penuaian telah membantu petani mengurangkan kos buruh antara 15 hinggan 25 peratus, khususnya di kawasan tanaman padi, sayur-sayuran dan dusun buah-buahan,” ujarnya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan terus komited dalam usaha memodenkan sektor pertanian melalui adaptasi teknologi pintar, agar Pahang kekal sebagai antara negeri peneraju dalam pertanian moden dan berdaya saing tinggi. -PAHANGMEDIA

