Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Aktiviti pelancongan di Tasik Chini, Pekan tidak terjejas meskipun Resort Tasik Chini masih belum beroperasi dan dibuka kepada pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, ia masih menerima sambutan baik berikutan masih terdapat aktiviti yang disediakan untuk pengunjung di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC).
“Sebenarnya ia mendapat sambutan yang baik. Saya difahamkan hampir setiap hujung minggu tempahan di PPTC memang penuh dan mereka juga menawarkan pakej-pakej eksplorasi orang asli, ada pakej eksplorasi Tasik Chini, ada pakej eksplorasi hutan juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Katanya, setakat ini Resort Tasik Chini masih dalam tindakan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) untuk mendapatkan pelabur untuk pembukaan semula Tasik Chini berkenaan.
Bagi menjawab soalan yang dikemukakan ADUN Luit, YB Dato’ Mohd Sofian Abd Jalil, YB. Puan Leong berkata, Kerajaan Negeri telah merangka dasar dan pelan strategi bagi menjadikan Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera UNESCO dan kawasan komuniti Orang Asli di Rompin sebagai destinasi pelancongan lestari berpaksikan komuniti.
Menurutnya, dasar dan pelan strategik berkenaan dirangka berasaskan tiga teras utama iaitu pemuliharaan alam sekitar, pemberdayaan komuniti, pembangunan pelancongan berimpak rendah.
“Keseluruhan strategi ini menggambarkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk memastikan warisan semula jadi dan budaya Tasik Chini serta kawasan Orang Asli di Rompin dibangunkan secara bertanggungjawab, berkelestarian serta memberi manfaat langsung kepada komuniti tempatan, selaras dengan aspirasi Visit Malaysia 2026 dan agenda pemuliharaan negeri jangka panjang,” ujarnya. – PAHANGMEDIA

