Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Dua litar permotoran baharu akan dibina di negeri ini iaitu di daerah Pekan dan satu daerah di kawasan Pahang Barat bagi menjalankan aktiviti permotoran.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ia memandangkan negeri ini tidak memiliki kemudahan kawasan yang khas bagi menjalankan aktiviti permotoran.
“Yang pertamanya litar drag ini sekarang kita cadangkan di Pekan sebab infrastrukturnya dah ada. Dan saya sendiri telah melawat litar tersebut buat lawatan rasmi bersama dengan MAM Motorsport Association of Malaysia bersama dengan Timbalan Presidennya.
“Kita telah bersetuju dan pihak Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk kita bina balik litar drag di Pekan.
“Litar kedua yang kita cadang selepas litar drag di Pekan adalah litar untuk motorsport. Yang ini kita cadang untuk dibina di daerah di Pahang Barat. Kita tengah sikit lagi kita perincikan dan kita akan maklum kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan dan dah memang ada persetujuan bersama dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan ini untuk Pahang kemukakan satu cadangan litar motorsport ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Beliau berkata cadangan bagi penyediaan litar permotoran di negeri ni sememangnya amat dinantikan oleh anak muda dan peminat sukan ini.
“Berkenaan dengan cadangan untuk penyediaan litar pemotoran, memangnya ini dinanti-nantikan sangat oleh anak muda di seluruh Negeri Pahang ini kerana sehingga kini kita masih belum memiliki litar pemotoran.
“Dan sekarang alhamdulillah dah masuk tahun kedua penganjuran RXZ Fighter yang baru-baru ini menghimpunkan lebih 70,000 orang di Teluk Cempedak yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Kita memang dapat maklum balas yang banyak daripada anak muda untuk penyediaan litar lumba pemotaran ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

