Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Penerima skim bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berpindah ke daerah atau negeri lain perlu membuat permohonan semula bagi memastikan proses pemantauan dan semakan berjalan lancar dan efektif.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, ia adalah berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan (Bulanan) 2025 dikeluarkan JKM mengenai penamatan skim bantuan bagi penerima yang berpindah tempat tinggal ke daerah atau kawasan lain.
Katanya, sistem pemantauan dan semakan adalah penting bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Apabila penerima bantuan berpindah ke kawasan luar pentadbiran daerah, ia menjadi cabaran kepada JKM untuk melaksanakan semakan dan menilai semula status kelayakan mereka.
“Dengan cara ini JKM dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan bantuan dan memastikan bahawa penerima yang layak menerima bantuan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, walau bagaimanapun, permohonan baharu daripada penerima yang telah berpindah ke daerah atau negeri lain akan dipertimbangkan sebaik mungkin dan kebarangkalian untuk lulus adalah tinggi. -PAHANGMEDIA

