Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Sebanyak sembilan buah kampung Orang Asli di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini telah membuat permohonan kepada Pejabat Tanah Daerah bagi tujuan permohonan rizab tanah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, terdapat beberapa kampung yang telah direkodkan dan akan dikemukakan kepada Pejabat Tanah Daerah selain terdapat pertindihan, semakan, serta tiada permohonan dibuat.
“Kampung Dusun telah mendapat perakuan oleh pihak kuasa tanah daerah dan akan dikemukakan melalui mesyuarat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan). Tasik Mentiga juga akan dikemukan kepada pihak berkuasa tanah negeri kerana permohonan mereka telah disempurnakan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Batu Gong sedang di dalam semak semula oleh pihak JAKOA untuk dibuatkan permohonan.
“Tanah Merah ini masih dalam proses kerana berlaku pertindihan, Kampung Arong juga masih dalam proses dan Kampung Air Hitam dan Kampung Gumu berlaku pertindihan maka pihak berkuasa tanah terpaksa membuat keputusan supaya permohonan ini diperhati semula.
“Kampung Tanjung Keruin ini belum dimohon oleh pihak JAKOA adapun Bendaling JAKOA masih lagi didalam semakan untuk membuat permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan jalan dan ruang kepada kampung berkenaan namun perkara ini melibatkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri menyediakan perundangan bagi memberi ruang supaya mereka boleh memohon dan merizabkan tanah di kampung mereka dan kita memang mengalu-alukan supaya ada perizaban tanah-tanah bagi masyarakat Orang Asli.
“Jika kita berbincang soal perizaban tanah, ini adalah berkait juga dengan kuasa Kerajaan Persekutuan sebab yang bertanggungjawab untuk memohon tanah-tanah bagi merizabkan kepada masyarakat Orang Asli adalah pihak JAKOA Persekutuan. Dan mereka akan meminta permohonan-permohonan di kawasan yang perlu mereka rizabkan tanah mereka sendiri,” katanya. – PAHANGMEDIA

