Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 DISEMBER 2025 : Projek Skim Perumahan Kos Rendah (SPKR) Taman Jaya Diri di Mukim Chenor, Maran mencatat kemajuan 60 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek melibatkan 186 unit rumah berkembar itu kini sedang giat disiapkan selepas diambil alih oleh Kerajaan Pahang susulan terbengkalai sejak 2012.
“Kemudian, projek SPKR telah diambil alih oleh Kerajaan Pahang dan diselaras bersama LPHP (Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut tatacara pembangunan yang sah dan selamat untuk didiami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, YB Tuan Haji Mujibur Rahman Ishak dalam Mesyuarat ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, walaupun projek itu diambil alih dalam keadaan terbengkalai, semua proses mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dipatuhi, termasuk kelulusan Kebenaran Merancang pada 2 Mei 2024, kelulusan infrastruktur dan pelan bangunan.
“Pelaksanaan kerja-kerja penyiapan infrastruktur kawasan perumahan akan diteruskan setelah mendapat kelulusan pembinaan loji kumbahan bagi kegunaan projek tersebut,” ujarnya.
Katanya lagi, urusan tawaran dan jualan rumah akan dilaksanakan oleh LPHP selepas projek siap sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Chenor sedia ada melibatkan 118 unit rumah tidak tergolong sebagai projek terbengkalai, malah 117 unit telah diduduki sejak 1994 dan hanya satu unit sedang dalam proses pengisian.
Mengulas permintaan tinggi rumah mampu milik di daerah tersebut, beliau berkata sehingga kini 7,504 permohonan telah diterima melalui sistem e-Perumahan Pahang di portal rasmi eperumahan.pahang.gov.my. -PAHANGMEDIA

