Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang terus memberi keutamaan kepada kebajikan dan mobiliti penduduk Pulau Tioman apabila mengumumkan kesinambungan subsidi Kad Pengangkutan Feri Tioman menerusi Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan hari ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi memastikan program subsidi itu dapat diteruskan demi kemudahan penduduk pulau berkenaan.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan besar bagi pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan di seluruh Pahang.
“Pada tahun 2026, kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri, jalan perbandaran, jalan pertanian dan jalan kampung akan dilaksanakan dengan nilai keseluruhan RM455 juta.
“Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti infrastruktur negeri, Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang diperuntukkan sebanyak RM134.34 juta ringgit untuk bajet mengurus dan pembangunan.
“Daripada jumlah ini, RM54.95 juta disediakan khusus bagi menaik taraf jalan serta membaik pulih dan menaik taraf kompleks pejabat kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2026 sempena pembukaan Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu, komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha mengurangkan risiko bencana banjir diteruskan melalui pelaksanaan langkah mitigasi, pemuliharaan dan pembangunan sistem saliran.
Untuk tujuan tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang menerima peruntukan RM52.23 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pengurangan risiko banjir, hakisan pantai dan pemulihan muara sungai.
Usaha itu turut diperkukuhkan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan RM188 juta bagi projek tebatan banjir berskala besar, rancangan pemuliharaan koridor sungai, penstabilan hakisan pantai serta naik taraf infrastruktur pengairan dan pembangunan saliran mesra alam.
Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM11.16 juta untuk pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Daerah dan Projek Pengurusan Lembangan Sungai, di samping menyediakan RM5.3 juta bagi pembangunan saliran bandar bagi mewujudkan infrastruktur lebih moden, tersusun dan lestari. -PAHANGMEDIA

