Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2025 : Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) dapat menjadi pencetus kepada para remaja di negeri ini untuk melibatkan diri dalam Program Rakan Muda.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin, platform ini memberi penghargaan kepada belia atas komitmen mereka.
“Pengiktirafan sebegini akan menggalakkan lagi lebih ramai remaja untuk melibatkan diri dalam Rakan Muda. Ini adalah platform penghargaan kepada mereka untuk terus memberi semangat dalam Rakan Muda.

“Tujuan (anugerah) ini adalah untuk mengiktiraf komitmen mereka dalam Rakan Muda dan sampai satu tahap mereka akan diberi pengiktirafan melalui pingat gangsa, perak dan emas.
“… dan ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri daripada dulu supaya masyarakat ataupun remaja hari ini tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti yang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pentauliahan Anugerah Perak dan Gangsa serta Fiesta Kebudayaan Rakan Muda Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025, selaku wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang, hari ini.

Tambahnya, pihak mereka akan memberi tumpuan dan meningkatkan usaha di kawasan-kawasan yang kurang aktif dalam penglibatan Rakan Muda.
“Selepas ini, kita akan lebih tumpukan di kawasan-kawasan yang agak kurang aktif, sepertimana Pengarah kata pada ucapannya kita akan tingkatkan usaha di daerah-daerah yang kurang aktif dalam Rakan Muda ini dan kita akan cuba tambah penerima anugerah emas,” katanya.
Seramai 642 belia menerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) pada Majlis Pentauliahan Anugerah Perak dan Gangsa serta Fiesta Kebudayaan Rakan Muda Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

