Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2025 : Program Aokmer Usahawan yang dianjurkan oleh Penyelaras Dewan Negeri (DN) Lepar dengan kerjasama Yayasan Pahang membuka peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut satu kenyataan media oleh Yayasan Pahang program ini memberi penekanan terhadap penjenamaan, pemasaran digital, dan strategi penembusan pasaran.
“Program ini memberi penekanan khusus terhadap penjenamaan, pemasaran digital, dan strategi penembusan pasaran. Pengasas Bersama Pasar Sera, Puan Nadia Rustham, turut hadir berkongsi ilmu mengenai konsep pasaran kreatif, jangkaan komersial daripada pasaran kreatif terhadap vendor, dan bagaimana proses tersebut dapat membantu kedudukan jenama (brand positioning) dalam pasaran Negeri Pahang,” katanya.

Tambahnya, hasil daripada program ini sepuluh vendor terpilih akan diberi peluang untuk mempamerkan produk mereka di acara Pasar Sera.
“Hasil daripada program “Aokmer Usahawan”, seramai sepuluh vendor terpilih dari Lepar akan diberikan peluang keemasan untuk mempamerkan jenama dan produk mereka di acara Pasar Sera yang akan datang, bertempat di Taman Tasik Paya Besar pada 28 hingga 30 November 2025,” katanya.

Menurut Penyelaras Dewan Negeri (DN) Kawasan Lepar, Encik Mustaqim Zakaria, beliau berharap latihan dan pendedahan daripada program ini dapat diperkasakan.
“Kami berharap latihan dan pendedahan yang diberikan ini akan memperkasakan perniagaan mereka untuk menjadi sebuah jenama yang kukuh bertapak di hati dan minda penduduk Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

