Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PUTRAJAYA, 24 NOVEMBER 2025 : Kadar pengangguran di Negeri Pahang menurun kepada 1.8 peratus pada tahun ini berbanding 2.2 peratus pada tahun lepas.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini menunjukkan tahap keboleh pasaran rakyat negeri ini semakin meningkat.

“Saya sentiasa menekankan supaya kadar pengangguran di negeri ini dapat diturunkan. Sebagai contohnya pada tahun 2024, kadar pengangguran di Negeri Pahang, 2.2 peratus bersamaan dengan 17,000 orang.
“Sehingga kini yang saya dapat data daripada Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran telah turun kepada 1.8 peratus iaitu 14,000 orang penurunan.
“Dan ini menunjukkan satu petanda yang baik dan keboleh pasaran buruh di Negeri Pahang pun semakin meningkat, disebabkan kita melonjarkan KDNK kita, 5.7 peratus melebihi paras nasional 5.1 peratus dan ini boleh menyebabkan kita boleh melabur, peluang-peluang pekerjaan dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya Visionary De’ Tea Logue di Putrajaya Marriott Hotel.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga komited dalam mengurangkan kadar pengangguran belia di Pahang melalui Program Jaminan Kerjaya yang dilaksanakan oleh YP Advanced Skills.
“Ia merupakan satu inisiatif berkesan dan berimpak tinggi, sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI kerana bermula tahun 2018 sehingga kini, Program Jaminan Kerjaya ini telah memberi peluang kepada golongan sasar iaitu belia, golongan asnaf, orang asli, dan golongan rentan yang merupakan anak Pahang atau pemastautin di Pahang.

“Seperti yang kita saksikan dalam montaj sebentar tadi, ramai alumni Program Jaminan Kerjaya kini berjaya memperoleh pendapatan melebihi gaji minimum RM1,700, malah ada yang mencapai pendapatan sehingga RM31,000 sebulan.
“Ini membuktikan bahawa program ini bukan sahaja berprestij, tetapi benar-benar mengubah kehidupan peserta,” katanya. -PAHANGMEDIA

