Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 19 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri menyampaikan Kit SPM kepada 107 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran, di sini yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata dengan pemberian Kit SPM berkenaan diharap dapat memberi semangat dan membantu pelajar melakukan yang terbaik ketika mendudukan SPM tidak lama lagi.

Beliau juga turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan kunci utama dalam mengubah masa depan serta meningkatkan taraf hidup.
“Apa yang Tokwan harapkan, Kerajaan Negeri harapkan, supaya anak-anak semua belajar dengan baik, belajar bersungguh-sungguh, fokus kepada pendidikan. Sebabnya untuk mengubah nasib kita, untuk kita maju jaya, kena ada pendidikan,” katanya.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan barisan pimpinan setempat.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menyediakan sokongan terbaik kepada para pelajar bergantung kepada keadaan kewangan negeri.
“Gunakan peluang yang ada ini dengan sebaik mungkin. Kerajaan Negeri akan bantu. Ini adalah peluang yang terbaik, dan kerajaan negeri buat sehabis baik bergantung kepada keadaan kewangan untuk bantu anak-anak kita belajar,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan calon SPM agar membuat persediaan rapi dan tidak menunggu saat akhir selain turut mengingatkan pelajar agar sentiasa mendapatkan restu dan doa ibu bapa.

Beliau dalam masa sama turut berharap semua calon SPM tahun ini mencapai keputusan cemerlang.
“Tokwan doakan supaya anda semua lulus dengan cemerlang. Buatlah yang terbaik, dan apa juga keputusan, jangan putus asa,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

